BERITA kematian kanak-kanak Maghribi, Rayan Oram pada Ahad bukan sahaja diratapi rakyat di negara itu, malah masyarakat seluruh dunia turut berkongsi kesedihan.

Kanak-kanak berusia 5 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dan terperangkap dalam perigi sempit sedalam 32 meter berukur lilit 25 sentimeter (sm) selama lima hari di kampungnya di Ighran, yang terletak di kawasan berbukit dekat Chefchaouen, utara Maghribi.


Ini 10 perkara perlu anda tahu tentang tragedi menyayat hati itu:

1. Rayan terjatuh ke dalam perigi milik bapanya ketika bermain di kawasan rumahnya di wilayah Chefchaouen pada 1 Februari lalu.

2. Pada awalnya ahli keluarga kanak-kanak itu tidak menyangka dia terjatuh ke dalam perigi dan mencari di kawasan berhampiran sebelum meminta bantuan pihak berkuasa.

3. Sebuah kamera milik pihak berkuasa yang dihantar ke dasar perigi mendapati Rayan masih lagi bernyawa.

4. Keadaan perigi yang sempit bagaimanapun menyukarkan cubaan untuk menghantar anggota penyelamat, ditambah dengan tekanan udara yang rendah.

5. Ketika kerja penggalian dan misi menyelamat dilakukan, air dan oksigen disalurkan menerusi paip.

6. Bekalan corong udara, minuman, makanan dan lampu dihantar dengan menggunakan tali berserta sebuah kamera bagi memantau keadaan kanak-kanak itu.

7. Kira-kira lima jentera berat digunakan ketika operasi menyelamat Rayan dan kerja penggalian dilakukan secara berhati-hati kerana dikhuatiri berlaku tanah runtuh.

8. Akhirnya kira-kira pukul 4.30 pagi, waktu Malaysia, 6 Februari lalu, mayat Rayan ditarik keluar dari perigi itu.

9. Berita pemergian Rayan disahkan oleh Raja Mohamed VI yang menghubungi keluarga Rayan menerusi telefon untuk menzahirkan ucapan takziah selepas kira-kira 30 minit selepas kanak-kanak itu dibawa keluar. 

10. Laporan siasatan awal mendapati Rayan mengalami patah tulang, kecederaan paru-paru dan otak.

Terperangkap | Selepas ditemui, Rayan meninggal dunia

Maghribi Berduka | Pemergian Rayan diratapi penduduk


BERITA BERKAITAN

Rayan berjaya ditemui, penyelamat tumpu usaha keluarkannya dengan selamat 

Misi menyelamat budak jatuh perigi masuk peringkat akhir 

Terperangkap dalam perigi: Rayan meninggal dunia selepas diselamatkan 

Ismail Sabri, Keluarga Malaysia ucap takziah kepada keluarga Rayan 

Maghribi berduka pemergian Rayan