Penyandang kerusi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan calon kerusi itu, Rafizi Ramli menggegarkan Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam pada petang Sabtu.

Tindakan Mohamed Azmin yang berjalan ke arah Rafizi lalu memeluknya mendapat tepukan dan sorokan daripada perwakilan.

Peristiwa bersejarah itu disaksikan kira-kira 900 perwakilan sewaktu berlangsungnya Kongres Nasional Keadilan kali ke-13 di sini hari ini.

Semuanya bermula dengan desakan dan rayuan perwakilan dari Perlis, iaitu Tengku Nazeri Tengku Aldin ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden.


Dalam pembahasannya, Tengku Nazeri, yang juga Naib Ketua Cabang Arau, memohon agar kesemua pihak menghentikan pertelingkahan dan bertelagah sesama sendiri kerana PKR kini merupakan parti tunjang dalam Pakatan Harapan.

“Saya rayu kepada tuan-tuan..menang kita sudah, (ke) Putrajaya kita sudah), Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar (penjara) sudah. Dia dah duduk dengan Wan Azizah (Presiden) sekarang. Ini masa untuk kita isi kemenangan ini. Saya minta kepada team Rafizi, dan team Azmin, hari ini hentikanlah. Masa dia sudah habis,” rayunya lagi.

Dengan spontan, Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, bangun dari tempatnya dan terus bergerak ke arah Rafizi, yang duduk kira-kira selang tiga kerusi dengan beliau.

Azmin, terus bersalaman dan berpelukan dengan Rafizi, sekali gus memberi isyarat jelas kepada perwakilan dan pemerhati, pertelagahan mereka ketika merebut jawatan Timbalan Presiden sudah berakhir.