Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan amat penting untuk setiap rakyat memahami mesej beliau mengenai usaha kerajaan menyerap impak ekonomi akibat penularan COVID-19 di negara ini.

Walaupun agak mencuit hati, Perdana Menteri menjelaskan, beliau mengambil pendekatan menggunakan karektor Mak Cik Kiah, Pak Cik Salleh, malah menyebut laman Facebook popular - “Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official” - supaya rakyat tahu kerajaan bersama-sama dengan mereka dalam tempoh sukar ini.

“Dengan cara begitu agak lebih berkesan, bahasa mudah. Dan saya tengok balik supaya yang menulis skrip untuk saya baca supaya jangan terlalu bombastik, bahasa yang agak tinggi sampai orang tak faham apa yang Perdana Menteri cakap ni.

“Jadi saya ambil pendekatan begitu, kerana yang penting ialah audience kita, rakyat kita, dan saya faham apa yang mereka jangkakan, supaya kita tidak menyebut satu perkara yang agak sukar untuk difahami. Dan kalau begitu maka tidak berkesan, mesej itu tidak akan sampai,” jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Editor Astro AWANI Essan Yahya, dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zaleha Khairene Ismail di Bangunan Putra Perdana, baru-baru ini.

Dalam pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 6 April lepas, Perdana Menteri Menteri memilih perumpamaan mudah bagi rakyat, khususnya sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS), serta perusahaan mikro untuk memahami bantuan dan inisiatif kerajaan.

Dalam pembentangan Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN TAMBAHAN), hari ini, dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion, beliau mengambil Lee Beauty Saloon, Restoran Mi Kolok Haji Salleh, dan Syarikat Surjit Kaur Sdn Bhd.

Baru-baru ini, dalam perutusan beliau sempena bulan Ramadan, Muhyiddin sekali lagi mencuit hati rakyat dengan memetik FB Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official, satu laman khas untuk rakyat berkongsi hasil masakan mereka yang tidak sempurna sepanjang tempoh PKP.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau amat memahami kegusaran rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, memandangkan PKP ini merencatkan sumber ekonomi mereka.

“Dalam keadaan sekarang mereka tak boleh bergerak, meniaga nasi lemak tak boleh, meniaga pisang goreng tak boleh, mana hasil pendapatan mereka?

“Jadi ini bukan satu mainan. Bagi saya sesuatu kena dibuat, supaya kita boleh membantu meringankan beban itu, bantuan dari segi barangan, bantuan dari segi kewangan, yang itu saya fikir boleh membantu mereka,” katanya lagi.