Skip to main content

Malaysia

‘Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku’ - Peguam

FOTO SHAHIR
Prosiding pada Selasa ditetapkan untuk keputusan rayuan akhir pedakwaan terhadap Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta. - Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

PUTRAJAYA: Peguam bela Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Hisyam Teh Poh Teik menyifatkan penangguhan prosiding rayuan membabitkan kes anak guamnya sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sepanjang pengalamannya mengendalikan kes.

“Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku. Kali pertama dalam amalan kami.

“Kali pertama dalam pengalaman kami,” katanya ketika ditemui pemberita  di pekarangan Istana Kehakiman, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan prosiding pada Selasa tidak dapat diteruskan selepas salah seorang anggota panel hakim iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana sedang menjalani cuti sakit selama dua hari, iaitu hari ini dan Rabu.

Beliau berkata, panel hakim sebenarnya sudah bersedia untuk menyampaikan keputusan rayuan berkenaan, namun keadaan yang tidak dijangka itu menyebabkan keputusan tidak dapat diumumkan seperti dijadualkan.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu dipengerusikan Abu Bakar bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Che Mohd Ruzima dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Prosiding pada Selasa ditetapkan untuk keputusan rayuan akhir pedakwaan terhadap Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, salah guna harta secara tidak jujur dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ARMADA.

Namun pada 25 Jun tahun lalu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, berkait kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA atau Angkatan Bersatu Anak Muda Bersatu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan, yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap bekas menteri itu.

Prosiding itu merupakan medan rayuan terakhir bagi pihak pendakwaan selaku pemohon manakala Syed Saddiq ialah responden.

 

 

Must Watch Video

Advertisement