PUTRAJAYA: Inisiatif penanaman bawang pada skala lebih besar melalui usaha sama strategik kerajaan negeri serta usahawan berpotensi dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu upskilling atau latihan semula dan pengukuhan.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata projek upskilling tanaman bawang telah dijalankan pada 24 Jan lepas di kawasan seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai, Perak.

Melalui projek itu, Jabatan Pertanian (DoA) bersama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan pemantauan agronomi tanaman termasuk pembajaan, sistem pengairan, kawalan penyakit dan perosak serta kesesuaian mekanisasi ladang.

"Melalui pemerhatian projek ini, peluasan kawasan baharu akan dilakukan di seluruh negara dan penyampaian teknologi penanaman ini akan dilaksanakan oleh DoA," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024 berkata kementeriannya akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri bawang tahun ini.

Dalam memenuhi matlamat pengurangan import bawang sebanyak 30 peratus, Mohamad berkata KPKM menyasarkan seluas 1,447 hektar kawasan penanaman setahun.

Sementara itu, Nor Sam berkata pada 2022, jumlah import bagi dua jenis bawang iaitu bawang besar dan bawang kecil adalah 685,400 tan metrik (mt) dengan nilai sebanyak RM1.58 bilion.

Sesi penyerahan 1.5 tan benih bawang merah MARDI BAW-1 kepada Jabatan Pertanian Malaysia pada Januari lalu. - Facebook MARDI

Berdasarkan data statistik berkenaan, Malaysia mengimport bawang sebanyak 525,055.37 mt dengan nilai RM944,990,373 dari 20 negara.

Jumlah import yang tertinggi adalah dari India iaitu 321,776.16 mt, Belanda (77,772.55 mt), China (47,165.48 mt), Pakistan 42,957.62 mt, Thailand 12,186.52 mt serta lain-lain negara.

"Krisis bekalan bawang pada 2020 akibat bencana banjir besar di India telah mengakibatkan kenaikan harga jualan bawang sebanyak tiga kali ganda," katanya.

Beliau berkata KPKM kini mengorak langkah untuk memperkasakan industri bawang dalam negara setelah mengambil kira kepelbagaian makanan di Malaysia yang memerlukan bawang sebagai satu daripada ramuan penting masakan.

"Memandangkan Malaysia mempunyai daya tarikan gastronomi yang unik, maka bawang dilihat sebagai komoditi tanaman yang strategik untuk dibangunkan," katanya.

-- BERNAMA