TUARAN: Inisiatif Pucuk Hijau UMW diteruskan lagi di daerah Tuaran, Sabah pada kali ini dengan sasaran sebanyak 2,000 anak pokok bakau ditanam dalam masa sehari.

Seramai 300 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran menganggap penglibatan mereka di dalam program berkenaan bukan sahaja memberikan pengalaman yang menyeronokkan, malah turut meningkatkan tahap kesedaran kendiri terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

"Memang seronok pengalaman ini. Saya rasa memang bagus untuk masa depan sebab saya diberitahu pokok bakau memerangkap lebih banyak karbon dan mengurangkan kesan rumah hijau lebih banyak daripada hutan tropika. "

"Boleh mengurangkan global warming dan climate change,"ujar Aariz Djibril Haq Sumantri, 12, salah seorang peserta di dalam program berkenaan.

Wafeeq Munif, 12, berkata penanaman semula pokok bakau di kawasan paya bakau Kampung Serusup itu berupaya mengurangkan kesan buruk banjir yang sinonim dengan kawasan Pantai Barat Sabah setiap tahun.

"Saya diberitahu, kita tanam pokok bakau ini sebab di Sabah selalu mengalami banjir teruk.

"Jadi kalau kita tanam pokok bakau ini, ia boleh mengurangkan risiko kesan banjir di sesuatu kawasan," Wafeeq berkata.

Nursyafiqah Nabila Sukri, 12, pula berkata program rehabilitasi hutan paya bakau yang disertainya bukan sahaja mengurangkan kesan rumah hijau, malah berupaya mengelakkan kepupusan spesies haiwan kawasan paya bakau.

"Saya telah tanam dalam 20 anak pokok bakau. Kawan-kawan ada yang menanam 10  sehingga 15 anak pokok.

"Tujuannya, agar haiwan paya bakau tidak terancam, untuk mengelakkan haiwan-haiwan ini daripada pupus," ujar pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru Satu itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan UMW, Badrul Rahman ketika ditemui berkata, usaha julung kali diadakan bersama 300 orang sukarelawan itu bakal dilaksanakan sekali lagi pada penghujung tahun 2023 di negeri tersebut bagi mencapai sasaran 300,000 batang pokok ditanam di seluruh Malaysia.

"Pada hujung atau sebelum hujung tahun ini ada lagi satu aktiviti menanam di Sabah. Jadi hari ini sasaran kita adalah untuk menanam 2,000 batang pokok bakau.

"Mudah-mudahan kalau semua orang memberikan komitmen dan dedikasi kita harus mencapai sasaran 300,000 batang pokok sebelum hujung tahun ini," ujar Badrul ketika ditemui media sewaktu program berkenaan pada Khamis.

Untuk rekod, Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Kampung Serusup, Tuaran turut disertai oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), University College Sabah Foundation (UCSF), Persatuan Cinta Alam Malaysia, dan lima sekolah rendah terpilih di sekitar daerah Tuaran dan Kota Kinabalu.