Inkues: Saksi dakwa kumpulan ‘Circle 19' jumpa Zara Qairina sebelum kejadian

Peguam menjelaskan, saksi memberitahu bahawa kumpulan 'Circle-19' terdiri daripada 19 pelajar perempuan yang rapat di sekolah berkenaan.
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu oleh seorang saksi pelajar bahawa, pertemuan bersama Allahyarham Zara Qairina Mahathir, membabitkan satu kejadian curi, pada malam 15 Julai lalu turut dihadiri oleh ahli kumpulan 'Circle 19'.
Ringkasan AI
- Seorang saksi pelajar memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa pertemuan berhubung kejadian curi pada malam 15 Julai turut melibatkan ahli kumpulan pelajar perempuan dikenali sebagai 'Circle-19' di SMKA Tun Mustapha.
- Saksi tidak pasti sama ada warden atau guru mengetahui kewujudan kumpulan tersebut, dan menyatakan bahawa teguran daripada pelajar senior sebelum ini lazimnya dibuat dengan nada tegas tetapi tidak pernah melihat pelajar junior dipanggil ke dorm lain untuk disoal.
- Peguam menjelaskan, saksi beritahu bahawa 'Circle-19' terdiri daripada 19 pelajar perempuan yang rapat, manakala prosiding inkues akan bersambung pada 12 Oktober 2025.
“Saksi itu berkata, perjumpaan malam itu (sebelum kejadian) melibatkan ahli kumpulan Circle-19, tapi ia bukan Mesyuarat Asrama (MA) atau Mesyuarat Bilik (MB).
"Saksi turut memaklumkan bahawa semasa dia menjadi pelajar junior, teguran daripada pelajar senior lazimnya dibuat dengan nada tegas, namun dia tidak pernah melihat pelajar junior lain dipanggil ke dorm lain untuk disoal tentang barang yang hilang," katanya semasa sidang media di perkarangan mahkamah di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Shahlan berkata, saksi tidak pasti sama ada kumpulan tersebut mempunyai peranan tertentu seperti menasihati pelajar lain dalam hal disiplin atau kehilangan barang di asrama.
Dalam pada itu, peguam Joan Goh memaklumkan, kumpulan 'Circle 19' ini terdiri daripada 19 orang pelajar perempuan yang rapat antara satu sama lain, dan kesemuanya berasal dari kelas yang sama namun tinggal di blok asrama yang berbeza.
"Kami bertanya secara spesifik tentang kumpulan ini dan katanya hanya rakan yang terdiri daripada 19 orang pelajar kesemuanya dan empat dari mereka adalah kawan baik sejak Tingkatan Satu dan kemudian mereka hanya melakukan aktiviti bersama.
"Kemudian, saya secara khusus bertanya kepadanya sama ada kumpulan ini terlibat dalam membuli Zara pada bila-bila masa, namun dia berkata tidak," katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami