MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Keterangan ahli kimia, diari dan lawatan ke lokasi kejadian jadi tumpuan minggu kedua

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
KUALA LUMPUR : Inkues bagi menentukan punca kematian Pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan bersambung untuk minggu kedua di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Inkues untuk minggu kedua akan berlangsung dari 8 hingga 12 September.
Prosiding selama 19 hari yang dijadualkan berlangsung hingga 30 Sept akan dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku koroner.
Bagi minggu kedua, tumpuan terarah kepada keterangan daripada ahli kimia bagi mengesahkan beberapa dokumen termasuk diari allahyarham Zara Qairina.Terdahulu Peguam Joan Goh memaklumkan, prosiding pada minggu kedua ini juga akan disusuli dengan sesi locus in quo, iaitu lawatan ke lokasi kejadian bagi membantu mahkamah memahami keadaan sebenar insiden.
Menurutnya, perkembangan ini penting kerana ia dijangka dapat memperjelas keadaan sebelum dan selepas kejadian yang meragut nyawa Zara Qairina.
Sebanyak 70 saksi termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas remaja terbabit akan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding inkues berlangsung.
Minggu lalu, Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu memberi keterangan selaku saksi pertama.
Prosiding akan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas. Remaja berkenaan sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami