Inovasi Rapid Biofloc UMT, teknologi yang mengubah akuakultur negara

Inovasi Rapid Biofloc, teknologi baharu yang mampu mempercepatkan pembentukan biofloc dan meningkatkan kecekapan ternakan ikan serta udang secara signifikan.
KUALA LUMPUR: Di sebuah kolam ternakan sederhana di pinggir Terengganu, airnya kelihatan lebih gelap daripada biasa. Apa yang tidak nampak pada mata kasar sebenarnya adalah ‘kilang mikro’ berjuta-juta mikroorganisma bermanfaat yang bekerja tanpa henti, membersihkan air, memakan sisa dan menjadi sumber nutrisi kepada ikan.
Ringkasan AI
- Teknologi Rapid Biofloc hasil penyelidikan UMT menjadi tumpuan penternak dan industri akuakultur di Malaysia.
- Inovasi ini mempercepatkan pembentukan biofloc dari sebulan kepada hanya 10 hari, mengurangkan masa dan kos operasi penternak.
- Keupayaan sistem Rapid Biofloc menjaga kualiti air tanpa penukaran berkala, meningkatkan kapasiti ternakan, dan memberi impak positif kepada kehidupan penternak serta komuniti.

inovasi Rapid Biofloc, teknologi baharu yang mampu mempercepatkan pembentukan biofloc dan meningkatkan kecekapan ternakan ikan serta udang secara signifikan.
Menurut Pengarah AKUATROP, Prof. Madya ChM. Ts. Dr. Nor Azman Kasan, dengan inovasi UMT, proses itu kini diringkaskan kepada sekitar 10 hari sahaja perbezaan yang mengubah cara penternak mengurus masa dan kos operasi mereka.
“Rapid Biofloc ini bukan sekadar teknologi. Ia adalah penyelesaian kepada masalah asas penternak kos makanan, kualiti air dan kebergantungan kepada pertukaran air.
"Biofloc bukan lagi sekadar konsep mikrobiologi. Ia dijadikan medium hidup yang stabil, mampu menukarkan sisa ternakan kepada protein mikroba, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada makanan komersial sehingga 30 peratus.
“Mikroorganisma dalam floc ini bekerja 24 jam. Ia serap ammonia, ia makan sisa. Pada masa sama, ia jadi makanan tambahan kepada ikan. Kitaran ini yang menjadikan Rapid Biofloc stabil, menjimatkan dan mesra alam,” jelasnya.

Rapid Biofloc direka bagi menyelesaikan cabaran terbesar penternak — kos makanan, kualiti air dan kebergantungan kepada pertukaran air.
Beliau berkata, keupayaan sistem itu mengekalkan kualiti air tanpa penukaran berkala memberi ruang kepada penternak menambah kapasiti ternakan mereka.
Dalam sesetengah projek komuniti, kepekatan ikan dalam satu meter padu meningkat hampir dua kali ganda, suatu prestasi yang sukar dicapai dalam sistem konvensional.
Di Hulu Terengganu, kumpulan penternak kecil menyifatkan Rapid Biofloc sebagai “jalan pintas untuk berjaya dalam industri yang biasanya penuh risiko”.
Dengan latihan daripada penyelidik UMT dan sokongan syarikat universiti, UMT Aqua Sdn. Bhd., teknologi ini kini digunakan dalam ternakan tilapia, udang dan ketam.
Bagi Nor Azman, kejayaan terbesar Rapid Biofloc bukan sekadar keberkesanan teknikalnya, tetapi sejauh mana ia mampu mengubah kehidupan penternak dan komuniti.

Inovasi yang dibangunkan oleh penyelidik di Institut Akuakultur Tropika & Perikanan (AKUATROP) ini membolehkan biofloc terbentuk dalam tempoh sekitar 10 hari, jauh lebih pantas berbanding sistem konvensional yang boleh mengambil masa sehingga 30 hari.
“Kami di UMT mahu penyelidikan kami turun ke lapangan, bukan tinggal dalam jurnal. Inovasi ini harus membantu penternak, meningkatkan pendapatan keluarga dan pada akhirnya menyumbang kepada keselamatan makanan negara,” katanya.
Dengan permintaan terhadap makanan laut yang semakin meningkat serta cabaran alam sekitar yang kian mendesak, Rapid Biofloc muncul bukan hanya sebagai teknologi, tetapi sebagai naratif baharu bagaimana inovasi tempatan mampu memacu masa depan akuakultur Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


