Kepercayaan masyarakat terhadap ilmu sains serta kepatuhan kepada nasihat pakar terutama pengamal perubatan merupakan antara faktor membolehkan negara mengawal penularan pandemik COVID-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata selain itu banyak inovasi baharu terhasil daripada idea dan bakat anak tempatan, ekoran penularan pandemik berkenaan di negara ini.

"Sebuah syarikat di bawah MOSTI misalnya, telah mereka bentuk satu robot menghantar makanan di hospital untuk membantu petugas perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang," katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berucap demikian pada majlis perasmian Minggu Sains Negara (MSN) 2020 peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Tenaga Nuklear Malaysia Dr Mohd Abd Wahab Yusof.

Katanya, setiap nasihat bagi mengekang wabak COVID-19 tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya malah mempunyai asas saintifik dan rakyat Malaysia keseluruhan telah menunjukkan kepatuhan tinggi meskipun tidak memahaminya.

Sementara itu, mengulas mengenai MSN 2020 yang memasuki edisi ketiga penganjurannya Khairy berkata ia bertujuan untuk memartabatkan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) tempatan dalam menyokong perjalanan dan visi negara ke arah kemajuan teknologi.

Jelasnya, ia juga bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI dalam kehidupan dengan memberi fokus kepada pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus meningkatkan potensi pelajar dalam jurusan STEM, selaras agenda STEM negara.

Beliau berkata penganjuran MSN tahun lepas berjaya mencapai 92.8 peratus atau 928,206 penglibatan orang ramai sekali gus menunjukkan rakyat sememangnya berminat dengan program berkaitan Sains dan Teknologi.

MSN merupakan program anjuran MOSTI dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia.

-- BERNAMA