KUALA LUMPUR: Inovasi berperanan sebagai pengimbang masyarakat dan enjin pertumbuhan untuk Malaysia menggiatkan semula ekonomi memandangkan negara memiliki keadaan tepat yang tersedia dalam bentuk infrastruktur boleh dipercayai, sumber yang komited, tenaga kerja boleh suai serta keazaman politik.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kajian menunjukkan peningkatan kapasiti inovasi sebanyak 1.0 peratus dianggarkan dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebanyak 0.36 peratus.

"Di antara 1967 dengan 1999, kadar pertumbuhan tahunan Malaysia yang mampan sebanyak 9.0 peratus menjadikan kita antara negara yang paling pesat berkembang dalam sejarah moden. Seperti yang kita sedia maklum, kadar pertumbuhan yang menyusul selepas itu adalah lebih rendah, dan kita berisiko tidak cukup bergerak pantas seiring dengan negara setara untuk beralih menjadi negara berpendapatan tinggi jika inovasi tidak menjadi teras dalam perkara yang kita lakukan.

"Menguasai teknologi dan inovasi merupakan pencetus perubahan kepada masyarakat kita memandangkan lebih ramai akan dapat mengakses penyelesaian berkualiti tinggi pada kos lebih rendah, dan melonjakkan ekonomi supaya kita meningkatkan rantaian nilai dengan produk, proses dan pekerjaan yang lebih baik," katanya pada majlis pelancaran Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (C4IR) di sini, pada Isnin.

Beliau berkata untuk melakukannya, kerajaan perlu mewujudkan sebanyak mungkin saluran kerjasama.

Inovasi adalah usaha bersama-sama untuk mencapai matlamat akhir, dan sebab itulah orang yang paling berjaya membawa pembaharuan memberikan idea terbaik apabila membawa pasukan merentas fungsi bersama-sama untuk sumbang saran dalam ruang khusus serta memanfaatkan kekangan masa dan sumber sebelum memutuskan idea yang perlu dilaksanakan dan yang digugurkan, katanya.

"Itulah sebabnya C4IR diwujudkan pada masa yang tepat kerana kita berada pada tahap pecutan. C4IR akan berfungsi sebagai tumpuan utama antara sektor awam dan swasta untuk menyelesaikan masalah dan projek rintis, selain berfungsi sebagai pusat pengetahuan untuk kalangan pakar, pihak yang membawa pembaharuan dan pembuat dasar berkumpul untuk berkongsi pandangan. Walaupun ruang penting, namun mereka yang berada di dalamnya adalah lebih penting," katanya.

Rafizi berkata usaha diterajui oleh MyDigital dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia, dapat dijadikan panduan bagi membolehkan C4IR lebih hampir dengan budaya inovasi yang diinginkan negara -- mengutamakan hasil yang boleh diterjemahkan kepada tindakan, mewujudkan perbincangan serta pandangan relevan dengan tempatan serta penghasilan produk yang bertepatan dengan keperluan pelanggan.

"Sesiapa sahaja yang mahu belajar, mewujudkan jaringan serta bekerjasama dari segi teknologi dan inovasi adalah dialu-alukan untuk menyertainya serta menyumbang kepada C4IR. Sama seperti kebanyakan perubahan yang bermakna dalam masyarakat, penglibatan ramai sememangnya diperlukan untuk mewujudkan perubahan. Kita berharap inilah permulaan kepada sesuatu yang bermanfaat," katanya.

Mengulas data KDNK suku pertama yang diumumkan baru-baru ini, Rafizi berkata walaupun prestasi itu lebih baik daripada dijangkakan, Malaysia masih banyak terdedah kepada cabaran global dengan kemungkinan berlakunya kelembapan serta kemelesetan ekonomi sebagaimana dibimbangkan banyak negara.

"Kita masih terdedah kepada sebarang keputusan monetari oleh pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat. Oleh itu, adalah penting selain daripada menguruskan prestasi ekonomi harian, kita juga perlu menumpukan aspek penyusunan semula jangka panjang yang melibatkan usaha pembentukan nilai daripada ekonomi digital kepada peralihan tenaga," katanya.

Rafizi berkata semakin ketara kemajuan Malaysia dalam pertumbuhan tinggi baharu dan sektor-sektor bernilai tinggi, semakin kurang untuk negara terdedah kepada tekanan antarabangsa.

Ini sekali gus menjadikan negara kurang bergantung kepada komoditi daripada sumber semula jadi dan sebagainya.

Pada Jumaat lepas, BNM mengumumkan prestasi KDNK Malaysia yang lebih baik daripada dijangkakan iaitu mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama 2023, disumbangkan terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.

Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertumbuhan itu turut disokong oleh pengembangan perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan yang berterusan, pasaran tenaga kerja yang makin baik serta peningkatan aktiviti pelancongan.

-- BERNAMA