PUTRAJAYA: Pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar secara sekali beri bagi bil bulan September 2023 untuk pengamal media hanya terhad kepada bayaran komitmen bulanan sahaja, kata Jabatan Penerangan (Japen).

Japen dalam satu kenyataan hari ini berkata pemberian insentif di bawah Rebat RAHMAH Pengamal Media itu ditawarkan kepada pengamal media yang mempunyai kad perakuan media Japen dan berstatus warganegara Malaysia sahaja.

Pengamal media yang layak perlu mengemas kini nombor telefon pascabayar dan maklumat lain yang berkaitan dengan log masuk ke akaun sistem e-Media Japen di pautan https://emedia.penerangan.gov.my/ sebelum atau pada 10 Sept untuk menikmati rebat itu.

"Pengamal media dinasihatkan untuk menyemak tarikh luput atau tempoh sah laku kad perakuan media masing-masing untuk menerima insentif rebat tersebut," kata Japen.

Japen berkata pemberian rebat itu juga tertakluk kepada terma dan syarat daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat iaitu TM (Unifi Mobile), CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications.

Maklumat lanjut Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media boleh didapati melalui soalan lazim (FAQ) di pautan https://www.kkd.gov.my/awam/faq.

Insentif itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada 29 Ogos lepas.

-- BERNAMA