TUMPAT: Polis menemui petunjuk dalam kejadian dua mangsa yang dikhuatiri hilang di Sungai Kelantan Kampung Pasir Pekan Hulu di sini dan akan meluaskan kawasan pencarian.

Dua mangsa yang masih hilang ialah Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, serta anak saudaranya, Amrullah Fitri Afendi, 10.

Ketua Polis Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pasukan penyelamat di air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat akan melakukan selaman di kawasan petunjuk berkenaan.

Menurut beliau, bagaimanapun terdapat halangan ketika ini apabila air sedang pasang dan alirannya deras.

"Kami terima petunjuk daripada penduduk dan kita akan tumpukan perhatian di kawasan itu. Kita akan luaskan pencarian kepada 200 meter pada tengah hari nanti," katanya.

Beliau memberitahu, semua maklumat yang diterima daripada anggota penyelamat dan penduduk kampung akan diambil perhatian.

Amran juga berharap, mangsa akan ditemui selepas pelbagai usaha dilakukan.

"Selain keluarga mangsa melaksanakan solat hajat, kita turut berharap doa orang ramai supaya semua mangsa ditemui," katanya.

Beliau memberitahu, jika penduduk ada ternampak objek boleh memaklumkan kepada polis untuk tindakan.

Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa terbabit melibatkan 79 anggota penyelamat termasuk polis, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), dan anggota tentera dengan 13 buah bot.

Turut membantu ialah penduduk kampung yang menggunakan dua buah bot.

Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan, seorang wanita lemas selepas terjatuh dari bot yang dikatakan terhenti secara tiba-tiba dalam kejadian di Sungai Kampung Kutan Hulu pada Jumaat.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, suami dan anak saudara mereka yang turut bersama masih hilang. - Sinar Harian