Skip to main content

Malaysia

Insiden Komander AKPS ditembak: Shuhaily akui ancaman sudah dijangka

BUKIT KAYU HITAM, 25 Feb -- Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memberi penerangan pada sidang media selepas menerima taklimat mengenai insiden tembakan terhadap kenderaan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, yang berlaku awal pagi tadi, di sini hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Shuhaily berkata ancaman seperti itu telah dijangka dan beliau telah mengingatkan pegawai serta anggotanya agar berwaspada dengan ancaman dan ugutan jenayah. - Bernama

BUKIT KAYU HITAM: Insiden tembakan terhadap kenderaan yang dinaiki oleh Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan penguatkuasaan tegas agensi itu sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak terjejas susulan tindakan itu, sehingga mencetuskan risiko ancaman terhadap pegawai dan anggotanya.

Advertisement

Mohd Shuhaily berkata ancaman seperti itu telah dijangka dan beliau sendiri, semasa menyampaikan ucapan kepada komander-komandernya empat minggu lepas, telah mengingatkan pegawai serta anggotanya agar berwaspada dengan sebarang ancaman dan ugutan jenayah.

"Jadi, kita telah ambil perhatian (terhadap risiko ancaman) dan pagi ini kita tidak menjangka pergi ke tahap tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hari ini, ketika diminta mengulas tentang insiden berkenaan.

Beliau berkata sejak ditubuhkan 14 bulan lepas, AKPS telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti, sekali gus memberikan tekanan kepada pihak yang selama ini terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

"AKPS baru berusia 14 bulan dan untuk terima tekanan atau ancaman sedemikian, sudah tentu (AKPS) telah menzahirkan satu tekanan kepada pihak yang melanggar undang-undang selama ini. Siapa tak sanggup buat begitu, kalau tak rasa tertekan?

"Dalam tempoh 14 bulan ini, anak buah saya lakukan tugas dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Jadi, mungkin selama ini aktiviti (jenayah) biasa dah sukar dilaksanakan, itu menyebabkan ada tindak balas sedemikian," katanya.

Baru-baru ini, katanya, AKPS Bukit Kayu Hitam mencatat rekod rampasan tertinggi pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM3.1 juta, hasil Ops Bersepadu yang dijalankan bermula dari 15 Jan hingga 15 Feb lepas.

"Ia merupakan satu rekod untuk pintu masuk Bukit Kayu Hitam yang belum pernah dicapai selama ini. Rekod itu membawa risiko yang dihadapi pagi tadi (insiden tembakan)," katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata AKPS mendapat sokongan penuh daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail termasuk dalam mempertingkatkan aspek keselamatan agensi itu.

Mohd Shuhaily berkata Perdana Menteri ada menghubunginya awal pagi tadi dan meminta beliau memaklumkan kepadanya perkara-perkara yang dapat ditambah baik dalam agensi berkenaan.

"Antara perkara yang kita lihat di sini, pegawai-pegawai AKPS ini tidak dibekalkan dengan senjata api … itu satu skop yang mungkin boleh dibaiki dalam masa yang terdekat dan jaket kalis peluru serta perkara-perkara yang boleh menjamin keselamatan anak buah saya untuk bekerja dengan lebih selamat," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak bimbang dengan insiden tersebut kerana kejadian itu ialah kes terpencil yang tidak melibatkan orang awam dan mereka boleh menggunakan ICQS Bukit Kayu Hitam seperti biasa.

Mengulas mengenai keadaan Mohd Nasaruddin, katanya, beliau kini berada dalam keadaan selamat, stabil dan kekal bersemangat tinggi untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah demi keselamatan negara.

"Beliau datang daripada unit yang sememangnya telah terlatih, bukan biasa. Sudah terlatih untuk kawal emosi dan reaksi. Kita nampak dia tenang dan selamat, alhamdulillah dan masih komited dengan kerja beliau dan itulah yang kita mahu daripada semua anggota dan pegawai di Bukit Kayu Hitam ini," katanya.

Dalam kejadian pada 5.40 pagi tadi, kereta Proton X70 dipandu Mohd Nasaruddin ditembak di susur masuk ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam, iaitu kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia–Thailand.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, AKPS dalam kenyataan memaklumkan insiden terbabit tidak akan melemahkan semangat warga kerjanya, sebaliknya akan terus memperkukuh lagi iltizam seluruh pegawai dan anggota untuk berdiri teguh, berani dan profesional dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan sempadan negara.

"AKPS akan terus memastikan setiap pintu masuk negara kekal selamat, terkawal dan berdaulat, serta tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang ancaman yang cuba menggugat keselamatan, keamanan dan kedaulatan tanah air," menurut kenyataan itu.

AKPS Bukit Kayu Hitam menerima beberapa ancaman sejak kebelakangan ini dan insiden yang berlaku pagi tadi ialah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang dipandang serius serta sama sekali tidak akan dikompromi.

Sebarang bentuk ancaman, ugutan atau serangan terhadap petugas keselamatan negara, ialah satu perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan serta kedaulatan pintu masuk negara. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video