MALAYSIA
Insiden penahanan anggota ATM tidak gambarkan keseluruhan pasukan - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2025 di Dataran Wisma Pertahanan hari ini. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan insiden penahanan beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mencerminkan keseluruhan institusi pertahanan negara.
Ringkasan AI
- Insiden penahanan anggota ATM tidak mencerminkan keseluruhan institusi, dan ATM kekal diyakini serta disegani dalam mempertahankan kedaulatan negara.
- Kes salah laku anggota perlu disiasat secara adil, dan kerajaan berharap tiada penyalahgunaan kuasa atau pangkat dalam kalangan anggota pertahanan.
- Mohamed Khaled menyeru rakyat dan anggota ATM menghayati semangat kenegaraan, memelihara imej ATM serta menghidupkan semangat patriotik demi perpaduan dan kemerdekaan negara.
"Saya menegaskan kes ini tidak menggambarkan ATM (secara keseluruhan), ATM masih hebat dan disegani serta diyakini rakyat untuk memelihara kedaulatan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2025 peringkat Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan ATM antara 10 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan semangat kenegaraan mesti dijiwai oleh setiap warganegara terutamanya anggota ATM dan warga pertahanan kerana angkatan itu bukan sekadar lambang pertahanan fizikal tetapi simbol kedaulatan, integriti serta kemerdekaan negara.
"Apabila disebut kemerdekaan, kita terus nampak gambaran barisan perwira yang mempertahankan negara. Dalam setiap perbarisan di Dataran Merdeka dan Hari Pahlawan, ia adalah manifestasi imej ATM dan kita harus kekalkan imej bermaruah ini," katanya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat menghidupkan kembali semangat patriotik dan menolak sebarang anasir yang boleh menggugat perpaduan rakyat.
"Tema tahun ini, 'Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni', bukan sekadar slogan kosong tetapi seruan agar setiap kita berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan amanah kepada negara.
"Pengibaran Jalur Gemilang juga bukannya satu simbol semata tetapi menggambarkan semangat patriotik, kebebasan, dan kesejahteraan negara," katanya.
Mohamed Khaled berkata pengorbanan perwira negara harus sentiasa dikenang manakala imej dan integriti ATM mesti dipelihara supaya terus menjadi benteng utama mempertahankan kedaulatan tanah air.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami