PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Polis Kedah menyegerakan siasatan serta meneliti aspek kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung insiden tular membabitkan penahanan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal, di sini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan perlu memberi tumpuan kepada semua aspek termasuk tatacara penguatkuasaan yang dilaksanakan anggota terlibat.
Advertisement
“Dalam perkara ini, saya sudah menghubungi Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, untuk menyegerakan siasatan termasuk meneliti aspek kepatuhan SOP dan tatacara penguatkuasaan.
“Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat keperluan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan digerakkan bagi menilai sama ada berlaku pelanggaran SOP atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak perolehan MPMS kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Kompleks Setia Perkasa pada Selasa.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan tindakan disiplin tidak boleh diambil secara semberono tanpa penelitian menyeluruh kerana ia boleh menjejaskan semangat anggota polis.
“Kita tidak boleh menghukum hanya berdasarkan rakaman video beberapa saat.
“Ada kemungkinan wujud kejadian sebelum insiden dirakam, termasuk sama ada suspek bertindak agresif, melawan arus atau melanggar kenderaan polis.
“Jika tindakan diambil secara terburu-buru, ia boleh merentap semangat anggota polis yang menjalankan tugas, apatah lagi ketika berdepan dengan suspek yang kadangkala agresif,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 29 saat di Facebook yang memaparkan kejadian penahanan seorang lelaki di lokasi berkenaan, dipercayai ketika operasi rondaan cegah jenayah.
Rakaman itu menunjukkan suspek ditarik keluar dari motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota polis terbabit.
Dalam perkembangan terbaharu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, pihaknya telah mengarahkan JIPS PDRM untuk menyiasat serta meneliti aspek pematuhan SOP dalam penahanan berkenaan.
Menurutnya, anggota polis terlibat turut ditukarkan ke bahagian pentadbiran sementara menunggu hasil siasatan JIPS.
Dalam pada itu, beliau berkata suspek lelaki berusia 32 tahun berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Polis turut menemukan dua bungkusan plastik lutsinar yang disyaki mengandungi air ketum, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine ketika ditahan.