IPOH: Orang awam yang menyaksikan insiden perselisihan faham di pesta mainan di Simpang, dekat Taiping yang tular sebelum ini diminta tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail dalam kenyataan malam ini berkata ia termasuk pemilik akaun Facebook "Kelvin Lim" bagi melengkapkan siasatan polis terhadap video yang tular itu.

Beliau berkata kira-kira 8 pagi tadi pihaknya telah mengesan satu klip video berdurasi satu minit dua saat di laman media sosial Facebook yang memaparkan seorang lelaki tempatan selisih faham dengan pekerja di pesta mainan berkenaan ekoran anak dan isterinya terjatuh dari alat permainan.

"Ekoran kejadian ini, pihak polis mohon pemilik profile Facebook bernama "Kelvin Lim" dan orang awam yang melihat kejadian tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 / 427 Kanun Keseksaan memandangkan berlakunya perlakuan jenayah dalam video berkenaan," katanya.

Justeru, Mohamad Nasir menyeru masyarakat Taiping khususnya untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam.

-- BERNAMA