KUALA SELANGOR: Tapak 'fun fair' di Eco Grandeur di sini pernah disita Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 29 Nov lepas kerana tidak mendapat lesen operasi daripada pihak tersebut namun operator tempat permainan tersebut tetap meneruskan operasi.

Yang Dipertua MPKS Rahilah Rahmat berkata kebenaran untuk beroperasi di tapak permainan berkenaan bagaimanapun diberikan kepada operator tersebut oleh pihak pemaju bermula 2 Dis hingga 8 Jan depan memandangkan kawasan itu masih belum diserahkan kepada MPKS.

Beliau berkata pihaknya pernah menerima permohonan daripada wakil penganjur untuk mendapatkan lesen pada 29 Nov dan 1 Dis lepas namun permohonan terbabit didapati tidak lengkap.

"Proses mendapatkan lesen untuk 'fun fair' perlu kelulusan daripada Jabatan Penguatkuasaan MPKS, polis dan yang paling penting daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor.

"Mereka pernah menyertakan kelulusan tersebut sewaktu membuka 'fun fair' di Klang tetapi tidak di Kuala Selangor. Kes ini akan dirujuk kepada JKKP Selangor dan polis," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak 'fun fair' berkenaan di sini hari ini.

Malam tadi, dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh ketika menaiki permainan 'Sotong Ride' yang sedang berpusing di tapak 'fun fair' itu dan video serta gambar mengenai kejadian tersebut tular di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata tiada sebarang penangkapan dibuat setakat ini susulan kejadian tersebut namun kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat pertuduhan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 atas kesalahan beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata buat masa ini, kesemua mangsa iaitu seorang wanita berusia 31 tahun bersama adik perempuannya berusia 11 tahun serta seorang lagi wanita telah dibenarkan keluar dari Hospital Shah Alam selepas menerima rawatan.

-- BERNAMA