Banjir kilat yang berlaku di Gua Rusa, Taman Negara Mulu hingga meragut nyawa seorang pelancong Belanda manakala seorang lagi masih hilang antara lain disebabkan kegagalan menilai situasi dan keadaan hujan di kawasan berkenaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii, ketika dihubungi Astro AWANI.

"Keadaan hujan menyebabkan kepala air muncul dari kawasan yang kita panggil Garden of Eden di hujung Gua Rusa," kata Ling Hii.

Jelasnya, aliran air dari kawasan rendah memenuhi sungai berdekatan menyebabkan air melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan itu dipenuhi air. Hal ini menjadi lebih sukar dengan keadaan geografi di Gua Rusa.

Pada masa yang sama, Ling Hii menasihatkan agar tidak memasuki mana-mana gua di mana fenomena kepala air boleh muncul pada bila-bila masa ketika ini.

BACA: Dua termasuk pelancong Belanda hilang selepas banjir kilat di Taman Negara Mulu

BACA: Mayat pelancong hilang di Taman Negara Mulu ditemukan

Pada Jumaat, niat sekumpulan pelancong menikmati keindahan semula jadi di Gua Rusa di Taman Negara Mulu bertukar tragedi apabila kawasan berkenaan ditimpa banjir kilat.

Akibat daripada itu, dua daripada mereka dipercayai dibawa arus deras dalam kompleks gua tersebut.

Mayat pelancong Belanda, Peter Hoverkamp, 66 tahun, ditemui terapung di sungai kira-kira jam 7 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Manakala Roviezal Robin, 20 tahun, seorang pemandu pelancong tempatan masih hilang.

Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan bantuan Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Keadaan di dalam Gua Rusa yang tenang, namun berisiko terjadi banjir kilat jika hujan lebat. - Astro AWANI/Hamzah Hamid