KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas pertuduhan tidak menangkap suspek kesalahan di bawah Akta Senjata, didakwa semula di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan sama.
Tertuduh, Azlan Sudin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
Advertisement
Mengikut pertuduhan, Azlan sebagai penjawat awam yang mempunyai kewajipan di sisi undang-undang didakwa dengan sengaja tidak menangkap seorang lelaki berusia 36 tahun yang terbabit dalam kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lobi Balai Polis Bukit Jalil, di sini, antara 6.50 petang hingga 7 malam pada 21 Feb 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 221(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk meneruskan pendakwaan dan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikekalkan seperti sebelum ini iaitu RM3,000 dengan seorang penjamin.
Beliau berkata semalam sepatutnya hari pertama perbicaraan kes berkenaan, namun anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan memaklumkan tiada saksi hadir untuk memberi keterangan walaupun tarikh perbicaraan ditetapkan sejak November tahun lepas.
"Memandangkan terdapat kepentingan segera untuk anak guam dituduh semula hari ini, kami beranggapan saksi-saksi boleh hadir dan memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan dalam tempoh terdekat," katanya yang dibantu peguam Maisarah Norkefli.
Anasuha berkata anak guamnya digantung tugas sejak Julai tahun lepas dan kelewatan dalam memulakan perbicaraan adalah sesuatu yang tidak munasabah.
"Tertuduh sudah berkhidmat dalam pasukan polis selama 25 tahun serta menanggung isteri dan tiga anak yang masih bersekolah," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April ini untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.
-- BERNAMA
TAG: mahkamah, inspektor, tangkap, Akta Senjata 1960