KUANTAN: Sebanyak 74 masjid dan surau kebenaran Jumaat di Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan menerima sumbangan kewangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena program Ihya Ramadan Parlimen Indera Mahkota & Kuantan 2026/1447H yang berlangsung di Masjid Taman Balok Makmur, hari ini.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi dalam satu hantaran di media sosialnya berkata daripada jumlah itu, 45 masjid dan surau kebenaran Jumaat di Parlimen Indera Mahkota menerima sumbangan, manakala 29 lagi di Parlimen Kuantan turut menerima bantuan sama.
Advertisement
Menerusi inisiatif berkenaan, setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM5,000, manakala surau menerima RM3,000 bagi menyokong pelaksanaan program sepanjang bulan Ramadan.
“Dalam kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas keprihatinan beliau menyalurkan peruntukan ini melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi menyantuni keperluan institusi masjid dan surau di kawasan ini,” katanya yang menyampaikan sumbangan tersebut pada program itu.
Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat melancarkan kelangsungan program yang dirancang sepanjang bulan Ramadan.
Program tersebut turut diserikan dengan tazkirah ringkas oleh Ustaz Uwais Al-Qarni yang menyentuh mengenai kemuliaan dan kelebihan bulan Ramadan, selain mengingatkan tentang keamanan yang dikecapi selama ini.