Skip to main content

Malaysia

Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi 2024 turun kepada 0.0025 - DOSM

81723106185_TBMohdUzirMahidin.jpg
Mohd Uzir berkata MPI yang diterbitkan bagi tahun rujukan 2024 dengan perbandingan 2022 mengukur kemiskinan dalam konteks lebih luas melalui tiga dimensi utama iaitu pendidikan, kesihatan dan taraf hidup melibatkan 10 indikator. - Bernama

PUTRAJAYA: Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) Malaysia 2024 turun kepada 0.0025 berbanding 0.0037 pada 2022, mencerminkan pengurangan berterusan ketersisihan bukan kewangan serta penambahbaikan menyeluruh dalam kesejahteraan isi rumah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penurunan indeks itu sejajar dengan pengurangan sumbangan mutlak kebanyakan indikator utama khususnya dalam aspek kesihatan dan komponen terpilih taraf hidup, sekali gus menunjukkan kemiskinan pelbagai dimensi menjadi semakin kurang ketara.

Advertisement

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata penurunan indeks itu sejajar dengan pengurangan sumbangan mutlak kebanyakan indikator utama khususnya dalam aspek kesihatan dan komponen terpilih taraf hidup, sekali gus menunjukkan kemiskinan pelbagai dimensi menjadi semakin kurang ketara.

Beliau berkata MPI yang diterbitkan bagi tahun rujukan 2024 dengan perbandingan 2022 mengukur kemiskinan dalam konteks lebih luas melalui tiga dimensi utama iaitu pendidikan, kesihatan dan taraf hidup melibatkan 10 indikator, berdasarkan garis panduan yang dibangunkan oleh Oxford Poverty and Human Development Initiative.

“Dari segi jurang bandar dan luar bandar, MPI kawasan bandar kekal rendah pada 0.0001 bagi kedua-dua tahun, manakala luar bandar mencatat penurunan daripada 0.0164 pada 2022 kepada 0.0109 pada 2024, namun masih menunjukkan kemiskinan pelbagai dimensi lebih tertumpu di komuniti luar bandar,” katanya.

Mohd Uzir berkata bagi dimensi pendidikan, ketersisihan berkaitan tahun persekolahan menurun daripada 0.0003 kepada 0.0001, manakala kehadiran ke sekolah kekal pada 0.0001 dalam tempoh sama, mencerminkan akses pendidikan terus terpelihara.

“Dalam dimensi kesihatan, akses kepada perkhidmatan kesihatan bertambah baik apabila indikator menurun daripada 0.0013 kepada 0.0009, manakala akses air bersih menurun daripada 0.0014 kepada 0.0010, walaupun kedua-duanya kekal sebagai penyumbang utama kepada MPI nasional.

“Bagi taraf hidup, kebanyakan indikator menunjukkan trend stabil atau bertambah baik dengan keadaan kediaman dan kepadatan bilik kekal pada 0.0001, manakala sanitasi, penggunaan pengangkutan dan akses peralatan komunikasi asas berada pada 0.0000. Akses kepada perkhidmatan kutipan sampah meningkat daripada 0.0004 kepada 0.0003,” katanya.

Bagi perbandingan antarabangsa, beliau berkata Malaysia merekodkan skor MPI 0.0025 pada 2024 berbanding Thailand (0.0018: 2022), manakala beberapa negara lain mencatat skor lebih tinggi termasuk Vietnam (0.0077: 2021), Indonesia (0.0140: 2017) dan Filipina (0.0158: 2022).

Beliau berkata skor MPI yang lebih rendah mencerminkan kemajuan ketara dalam menangani kemiskinan bukan kewangan dan menegaskan keperluan memperkukuh akses kepada air bersih serta perkhidmatan kesihatan bagi mempercepat pengurangan kemiskinan pelbagai dimensi dan memastikan pembangunan sosioekonomi inklusif.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata DOSM sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) bertemakan “Data Nadi Ekonomi Rakyat” bermula 5 Jan hingga 31 Okt 2026 bagi mengumpul data komprehensif semua premis perniagaan untuk menilai prestasi dan struktur ekonomi negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video