Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia, minggu lalu.

Hazrul Hizham Ghazali, 30 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdagangkan seorang wanita warga Mongolia berumur 20 tahun kira-kira jam 10.30 malam pada 10 April lalu hingga jam 8.30 malam pada 11 April bertempat di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Bagi pertuduhan kedua, kesalahan sama dilakukan pada lokasi dan waktu yang sama melibatkan seorang lagi wanita warga Mongolia berusia 37 tahun bagi tujuan eksploitasi seks dan salah guna kuasa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang tiga tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun dan denda.

BACA: Inspektor disyaki rogol wanita Mongolia didakwa esok

BACA: Kes rogol wanita Mongolia, pegawai polis digantung kerja

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al-Saifi Hashim, memohon mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain perlu menyerahkan pasport antarabangsanya dan lapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam yang mewakili tertuduh, Shah Rizal Abdul Manan bagaimanapun merayu agar wang jaminan dikenakan pada kadar minimum ekoran tertuduh telah digantung kerja dan gaji bulanan hanya dibayar separuh.

BACA: Konsulat Mongolia hargai sokongan agar kes warganya disiasat secara telus

BACA: PDRM digesa beri pencerahan kes rogol wanita Mongolia libat pegawai - Musa Hassan

Hakim, Tasnim Abu Bakar kemudian bersetuju menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menyerahkan passport antarabangsa selain lapor diri di balai polis pada setiap awal bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 17 Jun depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh ditahan pada malam 11 April lalu dan direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.