Institusi Islam yang dibina Umno dan Barisan Nasional (BN) boleh runtuh jika pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan itu setelah melihat perjuangan songsang pakatan pembangkang yang sanggup menjual nama Islam semata-mata mahu menjadi pemerintah.

Berucap pada majlis sepetang bersama penghulu, jawatankuasa kampung, imam dan bilal seluruh negeri Terengganu, Muhyiddin berkata pemerintahan BN bersama-sama Umno sebagai parti Islam utama terbukti mendapat pengiktirafan beberapa negara Islam yang lain.

Negara Islam lain katanya bukan sahaja memuji cara Malaysia menegakkan Syiar Islam di Malaysia malah mahu menjadikan ia contoh kepada mereka dalam membangunkan Islam di negara masing-masing.

Selain itu, BN juga banyak melaksanakan usaha ke arah meningkatkan martabat umat Islam di negara ini. Namun atas sebab politik, pembangkang sanggup berbuat apa sahaja untuk menggagalkannya.