Institusi keluarga teras pembentukan masyarakat beretika - Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berucap merasmikan penutupan Kem Kasih Keluarga 2.0 hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Institusi keluarga berperanan sebagai teras penting dalam pembentukan masyarakat beretika dan bertanggungjawab, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Ringkasan AI
- Institusi keluarga penting dalam pembentukan masyarakat beretika dan bertanggungjawab, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited memperkuat institusi keluarga melalui dasar, program sokongan, dan pendidikan keibubapaan yang bersesuaian dengan cabaran semasa.
- Kerajaan menyediakan potongan cukai 100 peratus kepada majikan yang anjurkan aktiviti berteraskan kekeluargaan bagi mewujudkan persekitaran kerja harmoni dan produktif.
"Oleh itu, pengukuhan institusi keluarga perlu dilaksanakan secara holistik, merangkumi aspek ilmu keibubapaan, komunikasi berkesan, disiplin positif serta sokongan komuniti," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kem Kasih Keluarga 2.0 sempena Bulan Keluarga Kebangsaan di sini hari ini.
Nancy berkata selari dengan Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), peranan lelaki dalam pembangunan sosioekonomi negara akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan Program Lelaki Budiman yang diperuntukkan RM4 juta.
"Pada majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan pada 9 Nov lepas, Modul Kebapaan sebagai Peneraju Kepimpinan Bapa telah dilancarkan.
"Modul ini menekankan peranan bapa sebagai pelindung, pembimbing dan pemimpin keluarga. Modul ini juga membantu mereka mengimbangi tuntutan kerja dan rumah tangga, mengurus tekanan dengan bijak serta berkomunikasi secara penyayang. Walaupun tiada bapa yang sempurna, setiap bapa mampu menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada keluarga," katanya.
Nancy berkata kerajaan turut menyediakan potongan cukai 100 peratus kepada majikan yang menganjurkan aktiviti berteraskan kekeluargaan bagi menggalakkan persekitaran kerja yang harmoni dan produktif.
"Antara aktiviti yang layak termasuk hari keluarga, sukan syarikat, jamuan atau makan malam tahunan pekerja serta program bina pasukan yang menyokong kesejahteraan keluarga.
"Bagi melayakkan majikan menuntut potongan cukai itu, beberapa syarat asas perlu dipatuhi, antaranya aktiviti mestilah dianjurkan oleh majikan sendiri serta memberi manfaat kepada semua pekerja atau kumpulan pekerja tertentu selain perbelanjaan yang disahkan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


