KUALA LUMPUR: Institusi mufti dinasihatkan untuk membawa sebarang isu yang bersifat nasional ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum mengeluarkan sebarang jawapan terhadap isu itu.

Saranan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan malam ini yang turut berkata proses penyediaan jawapan bagi apa-apa isu boleh ditambah baik dengan disertakan hujah yang konkrit serta jalan penyelesaian.

"Ia tidak boleh tergantung supaya tidak timbul kegusaran dalam masyarakat awam. Perkara tersebut perlulah dipertimbangkan secara menyeluruh selain penjelasan yang terperinci," katanya.

Mohd Na'im berkata demikian bagi mengulas jawapan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di laman sesawangnya, yang dilaporkan menasihati pekerja beragama Islam di bank konvensional agar mencari pekerjaan lain kerana institusi kewangan tersebut mempunyai muamalat berasaskan riba yang boleh menjurus kepada hukum haram.

-- BERNAMA