Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Integriti asas kekuatan penguatkuasaan, bukan sekadar tangkapan

BUKIT KAYU HITAM, 30 Julai -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penerangan ketika sidang media pada Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat Kedah Sejahtera di Felda Bukit Tangga, hari ini._BERNAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sehubungan dengan itu, beliau amat menghargai keberanian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menolak serta melaporkan rasuah. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kekuatan penguatkuasaan keselamatan negara tidak hanya diukur melalui jumlah tangkapan atau nilai rampasan semata-mata, sebaliknya ia turut bergantung kepada tahap integriti pasukan keselamatan yang memegang amanah negara. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sehubungan dengan itu, beliau amat menghargai keberanian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menolak serta melaporkan rasuah. 

Beliau berkata ketiga-tiga pasukan keselamatan itu adalah antara agensi tertinggi dalam kalangan penjawat awam yang menerima ganjaran kerana keberanian mereka membanteras perlakuan berkenaan. 

“Inilah rangkaian keselamatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kami bina dan perkukuh setiap hari, (iaitu) mengesan ancaman, memutuskan rangkaian jenayah, mengukuhkan sempadan dan mempertahankan integriti,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini. 

Sebagai rekod, kerajaan telah memberikan RM1.18 juta kepada 652 penjawat awam sebagai ganjaran kerana tampil melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini dilaporkan berkata PDRM mencatat bilangan penerima pengiktirafan tertinggi sepanjang tempoh itu membabitkan 437 orang, diikuti JIM (64), APMM (33) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (21).

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata KDN melihat keselamatan negara bukan sebagai tugas satu agensi atau kejayaan satu operasi semata-mata, sebaliknya setiap agensi mempunyai peranan tersendiri untuk mencapai matlamat memastikan negara kekal selamat untuk rakyat. 

Membuktikan keberkesanan sinergi itu, beliau berkata risikan dan siasatan PDRM baru-baru ini berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan bunga ganja bernilai RM33.4 juta. 

“Pada masa sama, JIM bukan sahaja menahan 59 pendatang tanpa izin tetapi turut memutuskan rangkaian pengangkutan yang memudah cara kegiatan itu. 

“Di perairan negara, APMM terus memperkukuh kawalan sempadan, termasuk menahan sebuah vesel yang membawa 36 warga Indonesia,” katanya. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement