PETALING JAYA: Invest Selangor Bhd menyasarkan potensi nilai transaksi lebih tinggi sebanyak RM1.3 bilion pada Pameran Penerbangan Selangor 2024 (SAS 2024) akan datang berbanding edisi sebelumnya. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata sasaran itu dijangka dapat dicapai disokong dengan saiz acara yang lebih besar dan 30 memorandum persefahaman yang akan dimeterai pada acara tahun ini.

SAS 2024 akan diadakan bermula 12-14 Sept di Pusat Penerbangan Serantau Skypark (RAC) Subang dengan menyasarkan 25,000 penyertaan serantau. 

"Untuk SAS 2024 ini empat hangar ditambah dan pelbagai reruai serta chalet disediakan bagi memenuhi permintaan pemain industri yang berminat menyertai pameran tersebut. 

“Terdapat sejumlah 52 reruai khas tersedia untuk peserta SAS 2024 yang boleh dijadikan kawasan perbincangan peribadi mereka,” katanya dalam taklimat media mengenai SAS 2024 di sini semalam.

Menurut Ng, SAS sebelum ini menghimpunkan 109 syarikat asing dan tempatan sebagai pempamer, 49 pameran pesawat dan penyertaan dari negara seperti Amerika Syarikat, Denmark, Perancis dan Singapura.

Beberapa pemain industri terkemuka seperti Textron, Gulfstream, Dassault Aviation dan banyak lagi menyertai acara pada edisi lepas, melibatkan RM823 juta dalam potensi nilai transaksi serta menarik seramai 19,217 pengunjung antarabangsa dan domestik, katanya.

Pada tahun ini, beliau berkata kadar untuk reruai 'standard'’ bermula dari RM6,000 manakala harga untuk chalet bermula dari RM25,000. Ruang kosong boleh didapati daripada RM600 setiap meter persegi.

SAS 2024 turut menjangkakan peningkatan penyertaan pempamer pesawat statik serta berharap pengeluar peralatan asli dan pemain utama industri akan kembali dengan pesawat terbaharu mereka untuk dipamerkan pada pameran kali ini. 

Beberapa segmen baharu juga akan digabungkan seperti teknologi angkasa lepas serta demonstrasi mencari dan menyelamat sebagai nilai tambah pengalaman kepada para peserta, katanya.

“SAS 2024 juga merancang untuk membuka peluang kerjaya dalam program penerbangan dengan menampilkan 40 syarikat berkaitan dalam industri yang ingin mencari pekerja pada hari kedua dan ketiga acara itu,” katanya.

Pemain industri yang berminat menyertai SAS 2024 boleh menghubungi Sekretariat SAS di [email protected] sebelum 31 Mei 2024 untuk menikmati diskaun awal lima peratus.

Peserta pameran yang kembali juga boleh menikmati diskaun 10 peratus untuk penyertaan mereka.

-- BERNAMA