IPOH: Melaksanakan program Kepolisan Masyarakat, dalam masa yang sama meraikan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina lebih awal bersama-sama masyarakat berbilang kaum.

Itu pendekatan yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dalam memastikan penglibatan secara menyeluruh dengan orang ramai.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, sambutan itu merupakan hasil cadangan daripada komuniti berbilang kaum di sekitar Chemor.

Ujarnya, ia dilaksanakan lebih awal supaya semua pihak dapat berkumpul memandangkan ketika perayaan itu ramai yang akan sibuk dengan aktiviti masing-masing.

"Atas permintaan warga Chemor berbilang kaum, mereka mencadangkan supaya diadakan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.

"Jadi, pihak Balai Polis Chemor bekerjasama dengan masyarakat setempat mengadakan masjlis ini semasa program Community Policing di sini.

"Ada tarian singa, upacara tradisi menggaul 'lou sang' dan pelbagai acara kebudayaan masyarakat Cina berlangsung di balai polis ini, untuk memeriahkan sambutan perayaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Community Policing sempena sambutan Tahun Baru Cina Peringkat IPD Ipoh di pekarangan Balai Polis Chemor, pada Jumaat.

Dalam masa sama, Yahaya yakin program itu dapat memberi banyak impak dan manfaat dalam penyatuan kaum serta mewujudkan suasana harmoni dalam negara.

"Pihak polis juga berpeluang mendengar masalah masyarakat di sini, Insya-Allah untuk tahun mendatang kita akan laksana program seumpama ini lagi," katanya.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Manjoi Hafez Sabri, Ketua Bahagian Daerah, Ketua ketua Polis Balai, warga PDRM Ipoh serta masyarakat setempat.