IPOH: Bandar raya Ipoh terpilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Bomba Sedunia 2024 peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Lost World Of Tambun, 4 Mei ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan majlis itu.

Menurutnya, pelbagai acara menarik telah disusun, antara lain mempamerkan kehebatan dan ketangkasan anggota bomba.

“Kita akan saksikan, ada bom air, ada helikopter, ada ular sawa, ada abang-abang sado. Semua akan turun ke Ipoh,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan Hari Raya DAP Perak bersama media di sini, malam tadi.

Menurut Nga, tugasan dan tanggungjawab anggota bomba sekarang semakin mencabar, bukan hanya memadamkan kebakaran, malah pelbagai tugasan untuk membantu rakyat, termasuk menangkap buaya.

Sehubungan itu, katanya, buat pertama kali, KPKT telah menyediakan dana terbesar dalam sejarah sebanyak RM267 juta tahun ini untuk membeli peralatan yang diperlukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, peruntukan itu bagi pembelian pelbagai aset, termasuk 150 jentera kompak atau compact fire rescue tender (CFRT) bernilai RM147 juta.

“Peruntukan yang tertinggi dalam sejarah ini juga sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada wira-wira merah negara kita,” ujarnya.

Selain Sambutan Hari Bomba Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, Kor Ming berkata, Perdana Menteri juga dijangka merasmikan Taman Rekreasi Madani pertama negara yang terletak di Parlimen Tambun.

Beliau berkata, KPKT membelanjakan RM50 juta untuk membina 100 taman rekreasi awam di seluruh negara, termasuk 22 di Perak.