HULU SELANGOR: Pang Sock Tao hari ini memulakan tugasnya sebagai wakil rakyat baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) dengan bertemu masyarakat di Pasar Rasa, dekat sini.

Kehadiran Pang, 31, bersama suami Yap Bing Yew, 32, pada 9 pagi disambut orang ramai yang berada di situ.

Beliau meluangkan masa hampir setengah jam bertemu penduduk bagi menyampaikan penghargaan dan memberikan kuntuman bunga sempena Hari Ibu kepada golongan wanita yang berada di pasar berkenaan.

Hari Ibu disambut pada 12 Mei setiap tahun.

Beliau seterusnya bergerak ke Pasar Awam KKB bertemu masyarakat untuk mengucapkan terima kasih.

Pang ketika ditemui media selepas itu berkata Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri akan mula dibuka Selasa ini selain meluahkan keterujaannya untuk berkhidmat kepada warga KKB.

"Saya akan mendahulukan masalah tempatan yang mempengaruhi penduduk seperti lampu jalan raya dan longkang. Saya akan bekerjasama dengan Malis Perbandaran Hulu Selangor untuk selesaikan masalah tempatan dahulu.

"Untuk jangka masa panjang seperti yang dinyatakan dalam manifesto, saya akan berusaha untuk meningkatkan kelajuan dan liputan internet dan menaik taraf sistem pengangkutan dengan mewujudkan bas pelancongan pada hujung minggu," katanya.

Pang menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

-- BERNAMA