Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini akan diberi tempoh secukupnya untuk mengamalkan syarat baharu kelayakan bagi Malaysian University English Test (MUET) pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P.Kamalanathan berkata kementerian akan memberi peluang kepada IPTA membuat persediaan sepenuhnya dalam usaha melaksanakan syarat baharu berkenaan.

"Kita akan memberi peluang dan tempoh masa secukupnya kepada IPTA untuk mengamalkan keputusan ini (syarat baharu kelayakan MUET) yang sepatutnya, IPTA tidak boleh merasakan dengan peningkatan Gred Muet ini suatu perkara membebankan," katanya selepas majlis graduasi 2014 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak bahawa akan berlaku kekurangan pelajar bagi mengisi kekosongan tempat dalam beberapa bidang pengajian yang ditawarkan di universiti tempatan berikutan syarat baharu kelayakan MUET itu.

Kamalanathan berkata IPTA tidak perlu bimbang dengan syarat baharu itu kerana kementerian akan berusaha membantu pelajar melengkapkan diri dengan keperluan penguasaan bahasa Inggeris sebelum memasuki universiti.

"Kita tidak akan membiarkan mereka (pelajar) begitu sahaja dan pihak kementerian akan melakukan apa yang patut untuk membantu mereka menambah baik penggunaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah lagi.

"Ini tanggungjawab kementerian. Kita akan bekerjasama dengan IPTA dan sekolah menengah bagaimana cara untuk menambah baik mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah," katanya.

Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2015 mengumumkan bermula 2015, syarat kemasukan am ke IPTA yang mengkehendaki pelajar mencapai tahap minimum Band 1 dalam MUET akan dipertingkat bagi meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi bahasa itu.

Tahap minimum baharu Band MUET untuk kemasukan bagi pengajian sastera dan sains sosial ditingkatkan kepada Band 2 (syarat graduasi ditetapkan Band 3); pengajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menjadi Band 3 (syarat graduasi Band 4); manakala Band 4 ditetapkan untuk pengajian undang-undang dan perubatan (syarat graduasi Band 5).