Skip to main content

Malaysia

IPU Labuan: Agensi selaras tindakan, kesiapsiagaan - JAS

MESYUARAT KHAS PENYELARASAN TINDAKAN DAN KESIAPSIAGAAN BERHUBUNG KADAR INDEKS PENCEMARAN UDARA (IPU) DI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN 6 SEPTEMBER 2026, LABUAN - Satu mesyuarat khas penyelarasan tindakan dan kesiapsiagaan agensi telah diadakan bagi membincangkan status terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Wilayah Persekutuan Labuan. kredit:FB Jabatan Alam Sekitar
Mesyuarat itu berlangsung pada 9 pagi di PKOD Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan. - Gambar Facebook JAS
Advertisement

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat khas penyelarasan tindakan dan kesiapsiagaan agensi Labuan diadakan hari ini, bagi menilai status terkini di pulau itu berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara berada antara 150 dan 170 dalam tempoh 24 jam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam hantaran di Facebook memaklumkan perbincangan memberi tumpuan kepada penilaian risiko terhadap keselamatan dan kesihatan awam, termasuk aspek persekolahan, selain menyelaras tindakan segera dan susulan antara agensi.

“Agenda utama merangkumi pelaporan status kualiti udara semasa, pelan komunikasi dan hebahan maklumat kepada orang awam, serta penyelarasan tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku peningkatan tahap pencemaran udara,” menurut hantaran itu.

Menurut hantaran JAS, mesyuarat yang berlangsung pada 9 pagi di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan itu, dipengerusikan Ketua Polis Daerah Labuan Supt Wan Firdaus Wan Zaki yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil JAS, APM, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan serta agensi berkaitan.

“Kerjasama antara agensi berkenaan mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan komitmen berterusan kerajaan dalam pengurusan risiko bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan warga Labuan sentiasa terjamin,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement