Skip to main content

Malaysia

IPU sederhana di 63 stesen, Seri Manjung catat bacaan tertinggi

Pemandangan bandar pentadbiran Putrajaya kembali kelihatan jelas. - Foto fail/BERNAMA
Pemandangan bandar pentadbiran Putrajaya kembali kelihatan jelas. - Foto fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 63 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana setakat pagi ini, menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Seri Manjung, Perak mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 98, diikuti Shah Alam, Selangor (95) dan Nilai, Negeri Sembilan (94).

Turut merekodkan bacaan hampir mencecah paras tidak sihat ialah Cheras, Kuala Lumpur, Klang dan Johan Setia di Selangor dengan bacaan masing-masing 92.

Beberapa kawasan lain yang mencatatkan bacaan sederhana termasuk Petaling Jaya (86), Seberang Perai (85), Taiping (85), Putrajaya (83), Tawau (83), Pasir Gudang (77), Kuala Terengganu (77), Sungai Petani (75) serta Bandaraya Melaka (74).

Di Johor, beberapa lokasi seperti Larkin (74), Segamat (73), Kota Tinggi (71), Pengerang (70), Tangkak (69), Batu Pahat (65) dan Kluang (60) turut merekodkan bacaan sederhana.

Sementara itu, lima stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap baik iaitu ILP Miri (49), Labuan (48), Miri (46), Limbang (35) dan Kota Kinabalu (34).

Berdasarkan klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara 0 hingga 50 berada pada tahap baik.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, disaran mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk dan sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU semasa.

Data APIMS menunjukkan tiada kawasan di negara ini merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat setakat pagi ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement