TEHRAN: Lima rakyat Amerika Syarikat (AS) yang dipenjarakan di Iran dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan dengan republik itu.

Sebagai balasan pembebasan itu, AS akan menyahbeku aset Iran bernilai AS$6 bilion di Korea Selatan.

Rundingan tidak langsung pertukaran tahanan AS-Iran berjalan selama setahun.

Lima yang dibebaskan oleh Iran termasuk Siamak Namazi, 51; ahli perniagaan, Emad Shargi, 59, dan ahli alam sekitar, Morad Tahbaz, 67, yang juga memegang kewarganegaraan Britain.

Sebelum ini, pentadbiran Biden didesak untuk membawa pulang banduan negara itu yang dilihat sebagai tebusan untuk digunakan oleh Iran.

Menerusi pertukaran ini, Iran mendapat akses kepada hampir AS$6 bilion dalam aset minyak yang sebelumnya dibekukan di Korea Selatan.

Pentadbiran Biden bersetuju untuk membantu Iran mendapatkan akses kepada AS$6 bilion dalam aset minyak Iran yang telah dipegang dalam akaun terhad di Korea Selatan sebagai insentif bagi Tehran untuk menjalankan pertukaran itu.

CBS News melaporkan bahawa berbilion-bilion pendapatan minyak tersebut sedang dipindahkan melalui bank-bank Eropah dalam bentuk euro ke akaun terhad di Qatar setakat Ahad.

Pertukaran itu disifatkan sebagai rumit dan penuh kontroversi malah dikutuk oleh pemimpin republikan AS serta aktivis Iran yang mengatakan ia hanya akan menggalakkan lebih banyak pengambilan tebusan.