KUALA LUMPUR: Tindakan Iran melancarkan peluru berpandu kelas dua adalah mesej kepada Israel untuk menghentikan segala serangan dan tindakan rakus yang menyebabkan krisis kemanusiaan di rantau Asia Barat.

Presiden Qaiwan International University, Sulaimaniyah KRG-IRAQ, Dr. Ismail Abd Rahman berkata, Israel juga berdepan dengan tekanan yang sama secara dalaman susulan demonstrasi besar-besaran oleh penduduk Yahudi yang panik akibat serangan Iran itu.

“Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak mendapat sokongan. Kita lihat demonstrasi di Tel Aviv telah mencecah lebih 100,000 penunjuk perasaan.

“Dalam budaya Israel tidak ada istilah sabar. Bagi Israel perang yang paling lama mereka hadapi adalah selama sebulan setengah.

“Apabila dalam keadaan perang berlanjutan seperti ini, Iran telah memberikan mesej dengan menggunakan peluru berpandu kelas dua yang mampu mencapai Lapangan Terbang Tentara Udara Nevatim. Iran ingin beritahu kepada Israel supaya jangan teruskan serangan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Iran sekadar beri mesej, Israel perlu hentikan serangan - Penganalisis

Ismail menilai kedudukan konflik yang berlaku ketika ini antara negara haram Israel dan negara-negara diserang rejim itu adalah dalam keadaan seri.

Jelasnya, tidak ada negara yang memperoleh kelebihan daripada konflik yang berlanjutan.

“Berdasarkan apa yang berlaku sekarang ini, senario terbaik yang boleh disifatkan ialah skor seri antara Israel dan negara-negara Islam yang lain, berdasarkan kepada sumber ketenteraan yang telah digunakan dan masa yang dihabiskan. Hatta dengan Hamas, Israel berdepan kesukaran. Apatah lagi berdepan dengan Hezbollah,” jelasnya.

Oleh itu, beliau menggesa agar semua pihak kembali menumpukan kepada isu pokok yang membenihkan ketidakstabilan ini iaitu membebaskan Palestin daripada sebarang bentuk penjajahan oleh Israel.

Pembantaian Israel keatas Palestin telah mencetuskan pelbagai reaksi, selain merekodkan peningkatan angka korban yang mencecah hampir 34,000 orang setakat Ahad.


Agenda AWANI: Perang Iran-Israel | Fokus Bebaskan Palestin