KUALA LUMPUR : Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Yusri Junos telah menerima dua anugerah di MACEOS 32nd Anniversary Gala Dinner & Industry Recognition Award 2022.

Anugerah Special Industry Recognition Award diberikan kepada Irmohizam selaku Protem Pengerusi Business Events Council Malaysia (BECM) selain Honorary Recognition of COVID-19 Front-Liners Award, di mana sewaktu pandemik, WTCKL menyahut seruan dan membantu kerajaan Malaysia untuk menjadi Pusat Pemberian Vaksin Mega AstraZeneca AstraZeneca (PPV Mega AstraZeneca).

Kesemua anugerah itu adalah berdasarkan undian oleh ahli Jawatankuasa MACEOS.

MACEOS atau dikenali sebagai Malaysian Association of Convention and Exhibition Organizers and Suppliers ditubuhkan pada tahun 1990, merupakan sebuah pertubuhan yang mempunyai keahlian dari seluruh pemain-pemain industri acara perniagaan di Malaysia.

Kedua-dua anugerah ini adalah berteraskan perjuangan berterusan Irmohizam di mana industri acara perniagaan adalah industri yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19. Banyak acara, persidangan, pameran dan konvensyen tempatan dan antarabangsa terpaksa dibatalkan atau penangguhan kerana sempadan dalam negeri dan negara ditutup selama 2 tahun dan lebih-lebih lagi banyak pusat konvensyen di Malaysia terpaksa ditutup dan banyak syarikat tempatan terpaksa gulung tikar akibat pandemik COVID-19.

Ia juga merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan beliau yang sentiasa memperjuangkan Ekonomi Acara Perniagaan di peringkat negara dan antarabangsa selaku Pengerusi Persidangan & Pameran (C&E) di World Trade Centers Association yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat bagi untuk menyumbang kepada pembangunan serta gerakan merangsang ekonomi serta aktiviti-aktiviti industri bagi memberi impak langsung kepada ekonomi sesebuah negara dan mempromosikan Malaysia secara agresif agar dikenali sebagai salah sebuah hub Acara Perniagaan di peringkat antarabangsa.

Anugerah ini mengimbau kenangan dan pengalaman berharga yang dipelajari WTCKL dalam menyahut seruan kerajaan Malaysia untuk menjadi sebuah PPV Mega di mana vaksin AstraZeneca disediakan dan diberikan kepada orang ramai sepanjang beroperasi selama 150 hari dan memberikan lebih 1.3 juta dos suntikan vaksin AstraZeneca.

WTCKL bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Inovasi & Teknologi (MOSTI), Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Ikatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Irmohizam yang juga Pengerusi Persidangan & Pameran (C&E) dan Ahli Majlis Penasihat World Trade Centers Association (WTCA) turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga WTCKL atas kerjasama dan kerja keras mereka sepanjang beberapa tahun yang sukar. Penghargaan turut diberikan kepada semua rakan industri acara perniagaan beliau, dengan mesej "Mari kita bersatu dalam matlamat kita bersama untuk meletakkan Malaysia di peta Industri Acara Perniagaan."

"Semoga kita dapat bekerjasama menganjurkan acara antarabangsa yang lebih menarik di Malaysia," ujar Irmohizam.

Beliau menganggap ini bukan satu bebanan dan tidak akan berputus asa untuk teruskan kerja sebagai pemain industri di Malaysia dan peringkat antarabangsa.