Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkuat kuasa 12 Jun.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata Ismail yang telah berkhidmat selama 32 tahun mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

“Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki Ismail akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dan mampu meneruskan visi Kementerian Kewangan sebagai peneraju strategik keberhasilan kewangan dan ekonomi.

“Ini bagi memastikan pertumbuhan mampan demi kemakmuran rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom.

Beliau mula menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada Januari 1986 dan juga pernah memegang jawatan; Ketua Setiausaha bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan; Pengarah Belanjawan, Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan dan Penasihat Kanan, ibu Pejabat Bank Dunia, Washington DC, Amerika Syarikat.

Jawatan ini menggantikan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang telah dipendekkan kontrak perkhidmatannya daripada 6 Mac 2019 kepada 14 Jun ini.

Mohd Irwan dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tidak dibenarkan menjalankan apa-apa tugasan yang berkaitan dengan Kementerian Kewangan sejak 14 Mei lalu.