Skip to main content

Malaysia

Ismail Sabri dimasukkan ke IJN, prosiding mungkin dijalankan di hospital

41740209112_IsmailSabriYaakob.jpg
Semakan menunjukkan pertuduhan terhadap Ismail Sabri (gambar) dijadual dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada pukul 9 pagi. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dilaporkan telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut sumber yang rapat dengan kes berkenaan, prosiding pertuduhan berkemungkinan dipindahkan ke IJN, bergantung kepada nasihat doktor.

"Ia bergantung kepada nasihat doktor," kata sumber berkenaan kepada portal berita The Star, dalam laporannya sebentar tadi.

Sementara itu, satu lagi sumber yang dekat dengan Ismail Sabri mengesahkan kepada akhbar itu, Ahli Parlimen Bera itu kini menerima rawatan di IJN.

Menurutnya, pengakuan tertuduh dijangka direkodkan di IJN, namun waktu prosiding masih belum dapat dipastikan.

"Buat masa ini, pihak pendakwaan perlu mengemukakan permohonan supaya prosiding pengakuan dijalankan di IJN, namun keputusan akhir tertakluk kepada hakim," katanya.

Sejak awal pagi, pengamal media dilaporkan mula berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur serta di luar kawasan IJN bagi mengikuti perkembangan kes itu.

Semakan sistem mahkamah menunjukkan pertuduhan terhadap Ismail Sabri dijadual dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada pukul 9 pagi.

Berdasarkan laporan sebelum ini, kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan isu pengisytiharan harta.

Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung siasatan berkaitan pengisytiharan hartanya.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM sebelum ini dilaporkan menyita wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai kira-kira RM7 juta.

Rampasan itu dibuat menerusi beberapa serbuan ke atas hartanah susulan penahanan empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri pada Februari 2025.

Must Watch Video

Advertisement