Ismail Sabri lulus PhD berkaitan krisis COVID-19 di UUM

Semasa era pentadbirannya, Ismail Sabri mengambil langkah proaktif dalam menangani pandemik dengan membuka semula pintu masuk negara pada 1 April 2022. - UUM
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, berjaya lulus sesi viva Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan beberapa pindaan kecil.
Tesis beliau menyorot pengalaman sebagai Perdana Menteri dalam menangani pandemik COVID-19, bertajuk ‘Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan Tahun 2020–2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik COVID-19’, yang memaparkan strategi negara sepanjang tempoh beliau menerajui kerajaan.
Sesi viva voce PhD beliau pada hari ini dikendalikan di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), UUM, dipengerusikan Prof. Madya Kamarul Azman Khamis, dengan pemeriksa luar Prof. Datuk Sivamuragan Pandian dan pemeriksa dalaman Prof. Madya Nazariah Osman.
Menurut kenyataan UUM, penyelia pertama beliau ialah Dekan GSGSG, Prof. Rusdi Omar, manakala Prof. Madya Che Mohd Aziz Yaacob dan Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw masing-masing bertindak sebagai penyelia kedua dan ketiga.
UUM pada masa memaklumkan kelulusan penuh masih tertakluk kepada keputusan Senat Universiti.
Untuk rekod, Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2021 hingga November 2022, menggantikan Perdana Menteri kelapan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semasa era pentadbirannya, Ismail Sabri mengambil langkah proaktif dalam menangani pandemik dengan membuka semula pintu masuk negara pada 1 April 2022, menandakan fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik.
Antara kelonggaran yang diperkenalkan termasuk penghapusan had waktu operasi perniagaan, membolehkan pemilik perniagaan mengikuti jam operasi yang ditetapkan dalam lesen masing-masing.
Had kapasiti 50 peratus bagi aktiviti berkumpulan besar, serta had bilangan pekerja di tempat kerja berdasarkan status vaksinasi juga dimansuhkan.
Selain itu, keperluan penjarakan sosial di masjid dan tempat ibadah dilonggarkan, tertakluk kepada garis panduan pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara.
Langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan pada masa itu untuk membolehkan masyarakat kembali menjalani kehidupan hampir normal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


