GAZA: Tentera Israel mendakwa telah menemui rangkaian terowong sepanjang ratusan meter dan sebahagiannya terletak di bawah ibu pejabat Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Gaza.

Zionis mendakwa kononnya ia sebagai bukti baharu eksploitasi Hamas terhadap agensi bantuan utama untuk rakyat Palestin.

Jurutera tentera membawa wartawan saluran berita asing melalui terowong itu.

Tentera Israel mandakwa, wartawan dalam perjalanan yang dikawal rapat memasuki pintu di sebelah sekolah di pinggir perkarangan PBB, turun ke terowong yang dibarisi konkrit.

Selama 20 minit berjalan melalui laluan panas yang menyesakkan, sempit dan kadangkala berliku membawa mereka ke bawah ibu pejabat UNRWA.

Terowong itu dikatakan sepanjang 700 meter dan dengan kedalaman 18 meter dan bercabang.

Terdapat ruang pejabat, dengan peti besi keluli yang telah dibuka dan dikosongkan.

Terdapat tandas berjubin dengan satu ruang besar dipenuhi dengan pelayan komputer, satu lagi dengan susunan bateri industri.

Israel mendakwa ia adalah satu pusat perisikan Hamas dan menjadi pusat kordinasi sebahagian besar pertempuran.

Dalam satu kenyataan, UNRWA berkata, ia telah mengosongkan ibu pejabat pada 12 Oktober, lima hari selepas perang bermula.

Sehubungan itu ia tidak dapat mengesahkan atau mengulas sebaliknya mengenai penemuan Israel itu.

UNRWA berkata, pihaknya tidak mempunyai kepakaran ketenteraan dan keselamatan mahupun keupayaan untuk menjalankan pemeriksaan ketenteraan terhadap apa yang ada atau mungkin berada di bawah premisnya.

UNRWA telah melancarkan siasatan dalaman susulan dakwaan Israel bulan lalu mengenai beberapa kakitangannya bekerja dengan Hamas sekaligus menyebabkan beberapa negara membekukan dana terhadap agensi itu.

Palestin berkata, Israel memalsukan maklumat untuk memburukkan UNRWA yang menggaji 13,000 orang di Semenanjung Gaza dan telah menjadi talian hayat bagi penduduk yang bergantung kepada bantuan selama bertahun-tahun.