Hatijah Aam, isteri kepada pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad meninggal dunia kira-kira pukul 7.45 malam tadi di sebuah pusat perubatan swasta di sini.

Menurut beberapa sumber, Allahyarhamah yang lebih dikenali sebagai Ummu Jah, 62, akan disembahyangkan di Masjid Mustaqim, Bandar Darul Aman hari ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Putat, Jalan Kodiang.

Anggota keluarga dan sahabat handainya enggan memberi sebarang kenyataan kepada media ketika ditemui di pusat perubatan swasta itu.

Menurut laporan media tempatan hari ini, Ummu Jah, yang juga Pengerusi Global Ikhwan Sdn Bhd, dilaporkan mengalami kematian otak dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Difahamkan, Allahyarhamah dimasukkan ke hospital swasta itu sejak 16 Okt selepas pulang daripada lawatan ke luar negara atas urusan kerja.