KUALA LUMPUR: Isteri kepada legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek, Datin Latifah Sidek dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi.

Berita pemergian itu disahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di laman Twitter, yang memaklumkan bahawa Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya malam ini.

"Dukacitanya dimaklumkan Yang Berbahagia Datin Latifah, isteri kepada Datuk Misbun Sidek telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

"Sama sama kita panjatkan doa dan sedekahkan Al-Fatihah buat arwah semoga ditempatkan bersama mereka yang disayanginya jua.

"Takziah buat Datuk Misbun dan keluarga. Al-Fatihah," kata MSN menerusi ciapan di Twitternya.

Setakat ini, punca kematian tidak dimaklumkan.

Allahyarham dan Misbun mendirikan rumah tangga pada tahun 1987 dan dikurniakan enam anak, Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita, dan Misbun Awalauddin.