PUTRAJAYA: Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai'mah Abdul Khalid dan dua anaknya hari ini hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan bekas Menteri Kewangan dan ahli perniagaan itu.

Nai'mah, Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin tiba di ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira pukul 10.05 pagi bersama dua peguam.

Nai'mah dalam kenyataan yang diedarkan kepada media sebelum memasuki premis SPRM berkenaan berkata beliau dan anaknya akan memberikan kerjasama kepada SPRM seperti dikehendaki undang-undang.

[TERKINI] Siasatan SPRM: Isteri dakwa Tun Daim dianiaya

Pengarah Bahagian Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi Bernama mengesahkan SPRM perlu mengambil keterangan isteri Tun Daim dan siasatan dibuat mengikut undang-undang berkaitan pencegahan pengubahan wang haram.

SPRM sebelum ini menjelaskan bahawa siasatan terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora, dan menurut SPRM kertas siasatan terhadap bekas menteri kewangan itu telah dibuka pada Februari tahun lepas.

Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Menurut SPRM, siasatan ke atas Daim dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pada Dis tahun lepas, Menara Ilham di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan Daim dilaporkan disita SPRM.

-- BERNAMA