MALAYSIA
Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara simbol taat setia kepada Raja

Seramai empat pegawai dan 79 anggota pangkat lain (LLP) 1 RAMD serta empat pegawai dan 22 anggota pangkat lain (LLP) dari 21 Skuadron Istiadat Berkuda terbabit dalam istiadat tersebut. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara berlangsung pada pagi Sabtu, melibatkan Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan 21 Skuadron Istiadat Berkuda (SIB).
Ringkasan AI
- Acara ini melibatkan Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan 21 Skuadron Istiadat Berkuda (SIB), serta telah diperkenankan untuk tontonan umum sejak 1994, sebelum dihentikan sementara akibat COVID-19.
- Istiadat bukan sekadar pertukaran kawalan fizikal tetapi membawa nilai simbolik besar kepada sejarah ketenteraan Malaysia, mencerminkan kesetiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada raja dan negara serta menarik perhatian pelancong dengan keunikan warisan budaya Melayu.
- Upacara ini bermula dengan perbarisan anggota pengawal lama dan baharu, disusuli penyerahan panji sebagai simbolik pertukaran pasukan, serta diiringi persembahan muzik oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD).
"Istiadat ini adalah simbolik kepada anggota tentera yang taat setia kepada Raja dan negara serta kesiapsiagaan anggota tentera kepada raja.
"Istiadat ini bukan sahaja melibatkan pertukaran kawalan fizikal, malah membawa nilai simbolik yang besar dalam kesinambungan sejarah ketenteraan Malaysia. Ia mencerminkan jati diri ATM sebagai pasukan yang bukan sahaja bersiap siaga di medan, malah juga berperanan menjaga maruah dan tradisi negara.

Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara yang berlangsung di pekarangan Pintu I, Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
"Selain menjadi lambang kehormatan kepada Institusi Diraja, istiadat ini juga menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Keunikan istiadat yang menggabungkan elemen ketenteraan, budaya, serta warisan Melayu menjadikan acara ini sebagai salah satu identiti kebanggaan negara," kata Pegawai Memerintah Batalion 1 RAMD, Kol Mohd Fuad Md Ghazali.
Istiadat dimulakan pada jam 9 pagi dengan perbarisan keluar anggota pengawal lama dari dalam pekarangan istana yang mengambil kedudukan di hadapan pintu utama dan kemudian disertai anggota pengawal baharu yang mengambil kedudukan berhadapan mereka.

Anggota Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan Skuadron Istiadat Berkuda (SIB) di bawah naungan Markas 12 Briged bergambar pada Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Ini disusuli upacara penyerahan panji sebagai simbolik pertukaran pasukan sebagai Pengawal Istana baharu, disaksikan Kol Mohd Fuad dan Pegawai Memerintah SIB, Left Kol Shahrul Azudin Maulod.
Majlis turut diserikan oleh persembahan muzik oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD) yang diketuai oleh Pengarah Muzik, Kapten (DOM) Muhamad Fauzee Japar.
Istiadat berkenaan dilaksanakan tiga kali setahun mengikut tarikh tertentu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami