KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk memperkenalkan akta atau undang-undang baharu bagi membendung isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) di Malaysia.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, buat masa ini, Kementerian Perpaduan berpendapat adalah memadai meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

“Kementerian berpandangan bahawa Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948 mencukupi dalam mengatasi dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu 3R ini.

“Dalam kedua-dua akta ini terdapat seksyen yang secara khusus menyentuh tentang tindakan perundangan yang boleh diambil terhadap isu 3R ini bagi menjamin keharmonian kaum.

“Walau bagaimanapun, kalau keadaan mendesak dan kerajaan memikirkan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula untuk pindaan bagi mengekang elemen permusuhan antara kaum dan agama, maka Kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa, menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH - Sri Gading) yang bertanya adakah akta sedia ada cukup untuk membanteras isu 3R di Malaysia.