Kementerian Kesihatan hari ini memberi amaran tegas kepada penduduk yang tidak menjaga kebersihan persekitaran rumah dengan membiarkan takungan air yang menjadi punca kepada pembiakan nyamuk aedes.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam jika tidak diendahkan mereka bakal dikenakan kompaun RM500 untuk satu kes dan juga dihadapkan ke mahkamah dan didenda maksimun RM10,000 sekiranya melakukan kesalahan berulang-kali.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan serius dalam dalam soal pembanterasan nyamuk aedes lebih-lebih lagi kes demam denggi yang kian meningkat akhir-akhir ini.

Menurut Subramaniam dalam tempoh Januari hingga 1 Jun lepas sebanyak 10,401 kes demam denggi dicatatkan dengan 19 kematian berbanding 10,352 kes dan 20 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Walaupun peningkatan dicatatkan adalah 49 kes tetapi trend peningkatan turut berlaku di negara-negara jiran dengan Laos meningkat sebanyak 81 peratus diikuti Singapura 79 peratus dan Vietnam 19 peratus.

Malaysia katanya tidak kecuali menghadapi peningkatan kerana tahap kepadatan penduduk, perubahan cuaca selain kurang kesedaran oleh masyarakat tentang kebersihan persekitaran.

Antara kawasan yang mencatatkan kes tertinggi adalah di Johor Bahru, daerah Petaling di Selangor dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur.

Kementerian juga katanya kini merancangdan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dengan mengadakan pemeriksaan secara kerap di kawasan-kawasan berisiko terutama di kawasan perumahan dan perindustrian.

“Kita akan memberi masa yang mencukupi khasnya didalam kawasan-kawasan yang mempunyai risiko yang tinggi bahawa penguatkuasaan akan dijalankan di kawasan masing-masing mereka. Masa diberi supaya mereka boleh menjalankan langkah-langkah kebersihan.

"Selepas itu, seperti yang diumum, pegawai–pegawai daripada pejabat kesihatan dengan kerjasama majlis-majlis tempatan akan turun ke padang dan akan ambil tindakan dari segi perundangan termasuk kompaun atau membawa mereka ke mahkamah,” kata Subramaniam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Kebangsaan 2013 di Dewan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sungai petani.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Jabatan Kesihatan, Dr Chong Chee Keong dan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat.

Pada masa sama beliau turut melancarkan sistem aplikasi dan laman web I-Denggue supaya orang ramai boleh mendapat maklumat terkini mengenai kawasan 'hotspot' penularan denggi di seluruhnegara.

Sistem aplikasi yang dilancarkan hari ini diperkenalkan dengan tujuan meningkatkan kesedaran dan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dijangkiti demam denggi.

Beliau berkata laman web itu dibangunkan menggunakan teknologi remote sensing dan sistem maklumat geografi (GIS). Orang ramai boleh mengaksesnya dihttp://idengue.remotesensing.gov.my.

Pada majlis itu beliau memperkenalkan tiga ikon selebriti bagi membantu Kementerian Kesihatan mengadakan kempen memerangi denggi.

Ikon tersebut ialah pemenang program realiti Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2008/2009, Soo Wincci dan juruhebah radio THR Raaga, Uthaya Kumar.