MALAYSIA
RMK13 tampil pendekatan holistik, angkat pembangunan manusiawi dan sosial

RMK13 menetapkan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026-2030 dengan peruntukan RM611 bilion. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membawa pendekatan pembangunan yang lebih holistik dengan memberi penekanan merangkumi aspek material dan fizikal serta nilai-nilai manusiawi dan kesejahteraan sosial.
Pengarah Pusat MySDG untuk Keterangkuman Sosial Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Untuk Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) Dr Khairil Izamin Ahmad berkata dokumen RMK13 menampilkan definisi pembangunan yang lebih luas, melangkaui angka dan statistik semata-mata.
"Satu perkara yang perlu kita beri perhatian dalam RMK13 ialah fokus dan definisi pembangunan tidak hanya tertumpu kepada definisi pembangunan material dan juga fizikal.
"Banyak aspek manusiawi dimasukkan ke dalam dokumen ini selain fokus kepada isu-isu pembangunan yang tidak ketara untuk memastikan kesejahteraan masyarakat," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara RMK13: Harapan Dan Agenda Sosioekonomi Rakyat terbitan Bernama TV malam tadi.Beliau berkata sebagai contoh, komitmen terhadap reformasi sistem keadilan jenayah yang terkandung dalam dokumen itu, antara lain melihat kepada keperluan menilai semula pendekatan negara dalam menangani penyalahgunaan dadah.
Selain itu, beliau berkata RMK13 turut menyeimbangkan pendekatan antara aspek ekonomi rakyat dengan sektor berprofil tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan teknologi data.
Beliau berkata pendekatan yang seimbang itu penting kerana pembangunan negara tidak seharusnya hanya tertumpu pada sektor berteknologi tinggi semata-mata sebaliknya perlu menyentuh realiti kehidupan harian rakyat di peringkat akar umbi.
"Dalam kerangka pembangunan RMK13, kita dapat lihat aspek ekonomi rakyat itu diberi fokus. Hal ini penting untuk menjamin daya tahan masyarakat, bukan sahaja dalam sektor ekonomi yang lebih sofistikated tetapi juga dalam di peringkat ekonomi yang menjadi lumrah dalam kehidupan masyarakat," katanya.
RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 31 Julai lepas, menetapkan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026-2030 dengan peruntukan RM611 bilion.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami