PUCHONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) mendedahkan dengan segera laporan siasatan dalaman berhubung isu pemilikan saham melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Pengasas bersama parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, langkah itu penting bagi mempertahankan kredibiliti agensi penguatkuasaan serta mengelak sebarang persepsi, bahawa siri tangkapan kebelakangan ini bermotifkan politik atau berbentuk pendakwaan terpilih.
Mengulas mengenai siri tindakan SPRM ke atas pemimpin politik Barisan Nasional (BN) berhubung kes Tabung Haji, Rafizi menegaskan beliau menyokong tindakan tegas terhadap salah laku pecah amanah, namun bimbang dengan implikasi persepsi rakyat terhadap institusi berkenaan.
"Saya mengalu-alukan usaha berterusan pihak berwajib untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana ahli politik ataupun penjawat awam yang ada bukti telah melakukan pecah amanah. I think the more the merrier.
"Tapi pada masa yang sama, kredibiliti institusi seperti SPRM, PDRM dan agensi-agensi yang lain juga dipertahankan supaya tindakan-tindakan seperti yang berlaku dalam tempoh dua minggu ini tidak dilihat sebagai weaponization of enforcement agencies ataupun dilihat sebagai pertuduhan terpilih, selective prosecution seperti yang sekarang ini sedang berlegar," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut Rafizi, ketegangan politik semasa antara Pakatan Harapan (PH) dan BN dibimbangi menjejaskan keyakinan awam terhadap usaha sebenar pencegahan rasuah sekiranya tidak diurus secara telus.
"Jadi kebimbangan saya adalah, adalah sangat malang kalau kes itu memang betul, kes itu memang ada tapi rakyat tak percaya sebab dia melihat itu sebagai weaponization of enforcement agencies terhadap seteru politiknya.
"Jadi dalam suasana politik sekarang terutamanya akibat pertelingkahan di antara PH dengan BN... saya khuatir usaha SPRM dan juga agensi-agensi penguatkuasa yang lain untuk membanteras rasuah, dia dikecamukkan dengan tuduhan-tuduhan yang dia bermotif politik seperti yang sedang berlaku sekarang," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan Anwar segera mengarahkan KSN mengambil tindakan berkenaan memandangkan kertas siasatan itu difahamkan telah pun dibentangkan ke Jemaah Menteri dan hanya melibatkan isu tatatertib.
"Jadi oleh itu saya nak cadangkan supaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Ketua Setiausaha Negara sebab perkara itu siasatan dah siap dan siasatan dalaman telah pun dibentangkan di Kabinet.
"Kemudian Datuk Seri Anwar ada bagi gambaran sebelum ini akan didedahkan dalam masa beberapa hari. Tapi ini dah dekat enam bulan.
"Dan kes itu sebenarnya hanya bersifat disiplin. Dia bukan kes jenayah pun yang itu yang diberi gambaran oleh kerajaan... it was a disciplinary inquiry, siasatan sebab itu dia tak disiasat oleh agensi penguatkuasaan, dia disiasat oleh JPA," ujarnya.
Tambah beliau, tindakan telus mendedahkan laporan berkenaan pada waktu ini bukan sahaja wajar, malah mampu mematahkan sebarang keraguan terhadap integriti operasi penguatkuasaan kerajaan.
"Dalam suasana sekarang saya rasa kalau Datuk Seri Anwar ambil tindakan mendedahkan kertas siasatan itu, dia akan memadamkan serangan-serangan... jadi ini masa yang sangat baik untuk Datuk Seri Anwar melakukan sesuatu yang betul dan mudah.
"Kalau dia dedahkan laporan kertas siasatan itu, itu akan mengukuhkan reputasi dan boleh dapat political mileage," katanya lagi.