KUALA LUMPUR : Gabungan badan masyarakat sivil, CSO Platform For Reform menggesa agar siasatan berkaitan kes bayi dirampas daripada ibu tanpa warganegara di hospital kerajaan negeri Sabah dilakukan secara telus dan berakauntabiliti.

CSO dalam pada itu turut menuntut supaya isu ini disiasat dengan kadar segera oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Ujarnya, JKNS dipertanggungjawabkan dalam memastikan kanak-kanak diberi perlindungan dan memenuhi hak asasi setiap kanak-kanak, tanpa mengira kewarganegaraan atau status imigresen mereka.

Oleh itu, isu ini sememangnya bercanggah dengan prinsip-prinsip dan kewajiban yang terkandung dalam Perkara 3 dan 36 Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang mana menekankan kepentingan utama golongan itu serta hak mereka untuk dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi.

"JKNS dipertanggungjawabkan dalam memastikan kanak-kanak diberikan perlindungan dan memenuhi hak asasi setiap kanak-kanak, tanpa mengira kewarganegaraan atau status imigresen mereka.

"Oleh itu, kes-kes yang dilaporkan mengenai ibu-ibu tanpa kewarganegaraan yang kehilangan bayi mereka di hospital kerajaan Sabah bercanggah dengan prinsip-prinsip dan kewajiban yang terkandung di dalam konvensyen berkenaan.

"Kami menggesa JKNS untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh ke atas kes-kes ini dan mengambil tindakan segera untuk memperbetulkan sebarang pelanggaran terhadap hak kanak-kanak yang
terdedah ini dan keluarga mereka," kata CSO dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, pendedahan tentang kes yang mana seorang kanak-kanak lelaki tanpa warganegara yang menghidap HIV telah meninggal dunia selepas dinafikan rawatan selama bertahun-tahun di hospital di Sabah adalah petunjuk perlunya tindakan segera untuk menangani masalah golongan tanpa warganegara, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Tegas CSO, insiden ini menggambarkan betapa perlunya tindakan segera agar akses penjagaan kesihatan saksama dapat disediakan dan segala bentuk diskriminasi terhadap golongan tanpa status warganegara dapat dihapuskan.